Sunday, March 9, 2025
22.6 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Ugut Harith Iskander, tukang rumah dipenjara 5 bulan

Seorang tukang rumah dihukum penjara lima bulan termasuk denda RM2,000 selepas mengaku bersalah mengugut dan mempermainkan perasaan pelawak Harith Iskander serta keluarga di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat.

Izzuddin Md Salim, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S. Mageswary.

Tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara bermula tarikh dia ditangkap pada 24 Januari lalu.

Jika gagal membayar denda ditetapkan, dia dikehendaki menjalani hukuman penjara tambahan selama dua bulan.

Mengikut pertuduhan, pemuda yang masih bujang itu menghantar mesej menerusi WhatsApp mengandungi perkataan ugutan kepada bekas isteri Harith iaitu Dr Jezamine Lim membabitkan keselamatan anak perempuan mereka.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran nasi lemak, pada jam 8:50 pagi, 23 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh ketika ditanya Majistret sama ada fakta kes dibacakan betul atau sebaliknya memberitahu niatnya hanya ingin mempermainkan perasaan Harith dan tidak mempunyai sebarang maksud lain.

Sebelum ini, Dr Jazemine memaklumkan persembahan Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter yang sepatutnya berlangsung pada 25 Januari lalu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dibatalkan.

Keputusan tersebut dibuat selepas keluarga mereka menerima ugutan ancaman bunuh daripada individu tidak dikenali dan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Dang Wangi.

Ugutan itu dipercayai berkaitan tindakan Harith membuat satu hantaran di Facebook miliknya gambar secawan kopi yang tertera ‘Ham Sap Kopi’ berserta kapsyen didakwa membuka ruang kepada warganet memberikan komen mempersenda serta menghina kesucian agama Islam.

Susulan hantaran itu, terdapat akaun menggunakan nama Cecelia Yap Song meninggalkan komen berbaur hinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Isu itu telah membuatkan masyarakat berang sehingga ramai pihak tampil membuat laporan polis terhadap pelawak berkenaan.

Harith batalkan persembahan di DFP selepas terima ugutan. – mStar
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda