Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tukar sisa jadi baja

    KUANTAN, 8 APRIL – Kini orang ramai boleh membuang sisa makanan ke dalam mesin yang menukar sisa makanan menjadi baja organik untuk tanaman.
     
    Inisiatif kerajaan negeri Pahang itu bertujuan untuk mengurangkan pembaziran apabila sejumlah besar makanan dibuang setiap hari, terutamanya pada bulan puasa.
     
    Mesin mudah alih itu telah ditempatkan di sebuah taman di tengah-tengah ibu negeri Kuantan pada bulan Ramadan di mana ramai keluarga berkumpul untuk berbuka puasa.
     
    Ia memproses 25 kilogram sisa sehari, kata Sharudin Hamid, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam negeri, yang memulakan projek perintis itu tahun lepas.
     
    Jumlah itu adalah sebahagian kecil daripada lebih 13,000 tan makanan yang dihantar ke tapak pelupusan sampah di sekitar Malaysia, tetapi Sharudin berkata ia membantu meningkatkan kesedaran tentang pembaziran makanan.
     
    Gambar mesin kompos sisa di luar masjid di Kuantan, Malaysia pada 3 April 2024. Ia yang digunakan untuk memproses sisa makanan menjadi baja organik untuk tanaman oleh orang ramai yang berbuka puasa di tempat itu. – AFP
    “Objektif utama adalah untuk memastikan bahawa sisa tidak dihantar ke tapak pelupusan sampah,” kata Sharudin kepada AFP.
     
    “Ini telah memberikan kesan yang besar kepada kami, kerana orang ramai semakin sedar tentang pemuliharaan alam sekitar, terutamanya daripada segi pengurangan sisa makanan,” tambahnya.
     
    Sisa makanan yang dibuang ke dalam mesin akan dicampur dengan sekam padi dan habuk papan secara perlahan-lahan selama  48 jam dan seterusnya dibungkus dan dihantar kepada petani sebagai baja untuk tanaman mereka.
     
    “Benda yang tumbuh daripada baja itu juga boleh menjadi makanan, yang sekali lagi boleh diproses menjadi baja. Jadi ada kitaran semula jadi,” kata Abdul Shukor,  ketika membeli makanan di pasar makanan Ramadan di Kuantan.
     
    “Saya telah berhenti menggunakan bahan kimia yang mahal sejak Jun tahun lalu. Baja yang dihasilkan ini adalah semula jadi, organik dan meningkatkan produktiviti,” kata Zulyna, seorang pengguna baja organik yang dihasilkan itu kepada AFP.
     
    “Sayuran berdaun saya kelihatan lebih besar dan lebih hijau,” katanya lagi setelah menyemburnya pada tanaman sayur, pisang dan nanasnya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda