Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tulang ikan paus dikumpul untuk pameran

    KUALA TERENGGANU – Setelah dua tahun ‘dikuburkan’ di pantai Beting Lintang dekat Besut, tulang seekor ikan paus Muncung Angsa yang mati setelah terdampar di situ akhirnya dikumpulkan sepasukan anggota Penyelamat Kedamparan Spesies Marin Terancam, semalam.

    Anggota pasukan khas dari Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Dungun itu mengambil masa dua hari bermula Ahad lalu untuk menggali, mencari, mengumpul dan menyusun dengan lengkap semua tulang mamalia itu. Ketua pasukan, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata pihaknya tidak mengambil tulang tersebut ketika mamalia itu ditemui mati pada dua tahun lalu kerana terdapat risiko yang lebih bahaya berkaitan ancaman penyakit zoonotik.

    “Ketika datang ke lokasi paus itu terdampar dahulu, kami memutuskan untuk menguburkannya antara tempoh lapan bulan hingga dua tahun kerana selepas itu, risiko ancaman jangkitan penyakit zoonotik kepada manusia atau pengendali bangkai spesies marin terancam ini adalah rendah. “Setelah dua tahun, bangkai paus ini tertanam di sini, semua dagingnya telah mengalami proses pereputan sepenuhnya. Kami menggali kubur paus ini sedalam 1.5 meter dan menjumpai tulang tersebut bersama lapisan lemak tebal yang masih lagi melekat padanya.

    Dipamerkan

    “Tulang-tulang ikan paus telah dibawa balik ke FRI Rantau Abang untuk proses pengawetan selama enam bulan dan akan dipamerkan dalam Galeri Spesies Marin Terancam kepada masyarakat umum tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama. Paus muncung Angsa atau nama saintifiknya Ziphius Cavirostris itu pernah menggemparkan penduduk sekitar Besut, Terengganu apabila bangkainya ditemui seorang penduduk kampung di pantai tersebut.

    Ikan paus Muncung Angsa merupakan spesies ikan paus yang semakin terancam di dunia.

    Mengulas lanjut, Mohd Tamimi berkata paus berasal dari keluarga setasian ini merupakan spesies marin terancam yang tersenarai dalam jadual Akta Perikanan 1985 (Peraturan-peraturan Spesies Ikan Marin Terancam 1999 pindaan 2008).

    “Orang awam juga tidak dibenarkan mengganggu, menangkap, membunuh, memburu, menjual atau memiliki haiwan atau bangkai berkenaan.

    Sekiranya ada orang perseorangan atau mana-mana organisasi yang sengaja melanggar Akta Perikanan 1985 maka jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000, atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Beliau berkata punca kematian paus itu telah dikenal pasti dua tahun lalu berikutan sakit semula jadi akibat termakan sampah sarap seperti botol minuman dan plastik yang ditemui dalam usus mamalia tersebut. “FRI Rantau Abang menasihatkan orang awam yang menjumpai spesies marin terancam sama ada terdampar hidup atau mati agar segera melaporkannya kepada Pejabat Perikanan Negeri dan Daerah atau mana-mana FRI yang berdekatan dengan lokasi kejadian.

    Ia penting untuk menyelamatkan nyawa spesies itu atau bedah siasat punca kematian malah tindakan pantas Pasukan Penyelamat Spesies Marin Terancam FRI Rantau Abang yang akan bertindak dalam tempoh 12-24 jam itu mungkin boleh menyelamatkan nyawa haiwan laut terdampar yang masih hidup,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda