Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tulang leher patah akibat menguap terlalu kuat

    LONDON, 9 NOV – Seorang wanita berusia 36 tahun di United Kingdom (UK) nyaris kehilangan nyawa selepas menguap terlalu kuat hingga menyebabkan tulang lehernya patah dan memerlukan pembedahan kecemasan.
     
    Menurut laporan Oddity Central, Hayley Black, seorang ibu kepada anak bernama Amelia, berkata insiden itu berlaku ketika dia baru bangun tidur dan sedang memanaskan susu anaknya. 
     
    Melihat anaknya menguap, dia turut berbuat demikian, namun detik itu bertukar ngeri apabila dia tiba-tiba merasai renjatan elektrik seluruh tubuhnya.
     
    Hayley segera menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena, jadi dia meminta suaminya, Ian, untuk menghubungi ambulans.
     
    Sepanjang perjalanan ke hospital, Hayley menanggung kesakitan yang dahsyat. Pada awalnya, imbasan perubatan tidak menunjukkan sebarang kecederaan tetapi pemeriksaan lebih terperinci kemudian mendapati tulang C6 dan C7 telah menekan ke arah tulang belakang akibat tekanan kuat dari menguap.
     
    Gambar ET Indonesia
    “Doktor cakap tulang C6 dan C7 saya menolak ke dalam saraf tunjang kerana daya kuat menguap. 
     
    Doktor mengatakan kes itu sangat jarang berlaku dan peluang saya untuk hidup dan berjalan semula cuma 50-50,” katanya dalam perkongsian di TikTok. 
     
    Doktor berjaya menjalankan pembedahan kecemasan untuk mengelakkan kerosakan kekal seperti lumpuh akibat kekurangan oksigen. 
     
    Namun, kejadian itu meninggalkan kecederaan saraf kekal serta parut di leher selepas cakera tulang belakangnya terpaksa dibuang.
     
    Hayley menghabiskan enam bulan di kerusi roda dan perlu belajar berjalan semula. Kini, dia turut menghidap fibromialgia, iaitu penyakit kronik yang menyebabkan kesakitan berpanjangan di seluruh badan.
     
    “Saya masih berjuang dengan kerosakan saraf hingga hari ini,” katanya. “Saya sering rasa sakit menjalar ke tangan, belakang, leher dan kepala. 
     
    “Saya tak boleh menguap tanpa rasa panik malah jika saya cuba menahan menguap pun, kesannya masih terasa.” – Agensi 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda