TERDAPAT tumbuhan liar daripada jenis menjalar yang boleh dijadikan sebagai tanaman hiasan yang menarik seperti ditanam sebagai tanaman gantung.
Salah satu daripadanya ialah spesies yang berdaun cantik dari genus tumbuhan Asystasia ini yang tergolong dalam keluarga tumbuhan Acanthaceae.
Pokoknya cepat tumbuh membiak secara meliar di alam semula jadinya. Namun keistimewaannya terletak kepada kecantikan daunnya.
Daunnya mempunyai tompokan corak-corak menarik yang terdiri daripada campuran warna-warna keputihan dan kehijauan atau kekuningan yang bergantung kepada sebanyak mana daunnya itu terdedah kepada sinaran cahaya matahari.
Penanaman
Cara mudah untuk menanamnya adalah dengan menggunakan beberapa keratan batang yang matang.
Mulakan langkah penanamannya dengan memlih pasu atau bekas tanaman dari jenis gantung atau yang boleh disangkutkan.
Tanam beberapa keratan hujung batangnya yang berdaun sekurang-kurangnya berukuran 10 sentimeter panjang agar ia cepat tumbuh membesar dan cantik untuk digantung. Sebaiknya gunakan keratan yang telah berakar.
Cara untuk menggalakkannya cepat berakar, rendam keratan batang tadi ke dalam air bertakung selama beberapa hari.
Apabila berakar pindah dan tanam ke dalam salah satu medium tanaman. Pada campuran setengah bahagian medium tanaman yang kaya dengan bahan organik dan setengah bahagian pasir sungai atau campuran tanah untuk pokok berpasu iaitu dalam nisbah 3:2:1 merangkumi tanah peroi, bahan organik dan pasir sungai di mana ia juga sesuai untuk penanaman ini.

Penjagaan
Untuk pembajaan seterusnya gunakan baja organik kerana ia sangat sesuai untuk pokok ini agar ia cepat tumbuh panjang menjalar di atas tanah atau menjadi pokok gantung yang menarik iaitu menjalar ke bawah pasu tanaman apabila digantung.
Berikan siraman secukupnya serta elakkan medium tanamannya kering kerana pokok ini cepat menjadi kecut dan agak sukar untuk dipulihkan.
Untuk pertumbuhan terbaik siram dua kali sehari pada waktu pagi dan petang pada hari panas. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan.
Pamerkan di kawasan yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari yang banyak agar terbentuk corak yang lebih cantik dan menarik pada daunnya.
Namun ia juga sesuai ditanam di kawasan yang sedikit terlindung tetapi daunnya akan berwarna hijau dengan sedikit corak yang menarik sahaja.
Idea pameran
Ciri pertumbuhan Asystasia sesuai ditanam dalam pasu atau bekas tanaman yang boleh digantung atau disangkut pada dinding.
Ia juga sesuai ditanam sebagai pokok penutup bumi. Sembur daunnya ketika hari panas untuk mengelakkan ia cepat menjadi layu. Potong batang atau rantingnya yang agak panjang bagi membentuk rumpun pokoknya yang lebih padat, cantik dan menarik.
Tumbuhan liar ini begitu sesuai sekali bagi mereka yang tinggal di pangsapuri atau apartmen yang mempunyai ruang tanaman yang agak sempit.
Anda hanya memerlukan sedikit ruang seperti di dinding atau ruang di balkoni untuk mempamerkannya.