Monday, March 17, 2025
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tumpahan minyak cemari Sungai Esmeraldas

    QUININDE, 16 MAC – Tumpahan minyak terbesar di barat laut Ecuador telah menyebabkan air sungai bertukar hitam, mendorong pihak berkuasa mengisytiharkan darurat alam sekitar dan mengarahkan penduduk untuk menjimatkan penggunaan air minuman.

    Tumpahan itu dipercayai berpunca daripada tanah runtuh yang merosakkan saluran utama paip minyak, mencemari sebahagian Sungai Esmeraldas di wilayah dengan nama yang sama.

    Di pekan Cube, penduduk berusaha membina benteng lumpur bagi menghalang aliran minyak yang telah mengubah warna air sungai, menurut pemerhatian seorang wartawan AFP.

    “Lumpur yang bercampur minyak telah meresap ke seluruh cerun bukit,” kata seorang petani, Fernando Gandara.

    Jawatankuasa Operasi Kecemasan di ibu wilayah Esmeraldas mengisytiharkan darurat alam sekitar berikutan kebimbangan terhadap kualiti air.

    Datuk Bandar Esmeraldas, Vilko Villacis, menyifatkan kejadian itu sebagai ‘kerosakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini’. Pejabatnya telah menghentikan penyaluran air sungai ke terusan utama yang membekalkan bandar dengan lebih 200,000 penduduk, sambil menggesa orang ramai untuk menjimatkan air.

    Syarikat minyak milik kerajaan, Petroecuador, dalam kenyataan pada Jumaat berkata pihaknya sedang berusaha mengawal kecemasan di saluran paip yang terjejas, sebahagian daripada Sistem Saluran Paip Trans-Ecuador (SOTE) yang mengangkut minyak mentah dari Amazon. – AFP

    Pandangan udara menunjukkan tumpahan minyak di Sungai Caple di El Vergel, wilayah Esmeraldas, Ecuador pada 15 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda