MOSCOW, 6 JAN – Puluhan mamalia laut ditemui mati sejak insiden tumpahan minyak kapal tangki Rusia di Laut Hitam bulan lalu, menurut sebuah pusat penyelamat ikan lumba-lumba, ketika pihak berkuasa giat mengawal bencana itu.
Insiden tumpahan minyak berlaku pada 15 Disember apabila dua kapal tangki Rusia yang lama terperangkap dalam ribut di Selat Kerch yang menghubungkan Crimea ke selatan Rusia.
Satu kapal karam, manakala satu lagi terkandas, menyebabkan kira-kira 2,400 tan minyak bahan api berat jenis mazut tumpah ke perairan sekitarnya, berdasarkan anggaran pihak berkuasa.
Pusat penyelamat dan pemulihan ikan lumba-lumba Rusia, Delfa, melaporkan bahawa 61 mamalia laut ditemui mati sejak kejadian itu, dengan 32 daripadanya ‘berkemungkinan besar’ mati akibat kesan tumpahan minyak.
Mamalia laut yang dikenali sebagai cetacea itu merangkumi paus dan pelbagai jenis ikan lumba-lumba.
“Berdasarkan keadaan bangkai mamalia tersebut, sebahagian besar dipercayai mati dalam tempoh 10 hari pertama selepas kejadian berlaku,” menurut kenyataan pusat itu melalui Telegram.
Ia turut menyatakan bahawa kebanyakan mamalia yang mati adalah spesies ikan lumba-lumba Azov, jenis porpoise yang menyerupai ikan lumba-lumba tetapi hampir mirip dan berkaitan dengan ikan paus beluga dan narwhal.
Kementerian Kecemasan Rusia kelmarin memaklumkan bahawa usaha pembersihan sedang dijalankan, namun angin kencang dan ombak kuat menyebabkan minyak tertumpah ke beberapa kawasan di pantai.
“Setakat ini, lebih 68 kilometer kawasan pantai telah dibersihkan,” menurut kenyataan kementerian tersebut. – AFP