SINGAPURA, 2 Jun – Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof hari ini menghadiri Dialog Shangri-La IISS ke-18 yang diadakan di Hotel Shangri-La, Republik Singapura bermula 31 Mei sehingga hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, persidangan membincangkan pelbagai isu keselamatan serantau seperti visi Amerika Syarikat untuk rantau Indo-Pasifik, situasi di Semenanjung Korea, perkembangan keselamatan di rantau
Asia Tenggara yang berkembang dan cabarannya serta peranan China dalam kerjasama antarabangsa.
Pada Jumaat lalu, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua telah menghadiri Majlis Makan Malam Pembukaan Dialog Shangri-La yang bermula dengan ucaptama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
Beliau antara lain menekankan kepentingan hubungan Republik Rakyat China dan Amerika Syarikat khususnya dalam mengekalkan manfaat globalisasi dan menangani lebih berkesan pelbagai isu-isu global.

Di samping Dialog Shangri-La itu, Yang Berhormat Pehin turut mengadakan beberapa Mesyuarat Dua Hala berasingan dengan Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean dan Menteri Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen.
Kedua-duanya menyatakan rasa puas hati bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan yang baik dan rapat serta mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dan tentera yang sedia ada.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga menghadiri resepsi dan makan malam di Istana yang dihoskan oleh Presiden Republik Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob.
Terdahulu, Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Negara-negara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat telah pun diadakan sebelum Dialog Shangri-La IISS. Semasa mesyuarat itu, Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Patrick M Shanahan menggariskan visi Amerika Syarikat untuk rantau
Indo-Pasifik dan seterusnya menteri-menteri bertukar pandangan secara terbuka mengenai isu-isu keselamatan serantau.
Mengiringi Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua ke Dialog Shangri-La ini ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah; Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; Pengarah Dasar Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dan Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Shahrul Nizzam Umar.