Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tumpuan mempertingkatkan ketepatan sasaran

    Oleh Lenna N.B.

     

    ANAK matanya ditumpukan kepada hujung anak panah yang kemudiannya bergerak ke satu sasaran. Tangan kanannya menarik tali busur dengan posisi badan yang kukuh. Melalui fikirannya yang tenang, dan tumpuan yang tinggi, dia melepaskan panahannya ke arah sasaran, tepat di tengah-tengah bulatan, titik permukaan sasaran.

    Kembali kepada zaman Rasullullah SAW, pasti kita terimbas kembali perjuangan-perjuangan Baginda bersama pengikutnya. Pada waktu itu, panah adalah salah satu senjata yang paling ampuh digunakan oleh Baginda Rasulullah, para sahabat-sahabat Baginda dan para pengikut ketika berperang. Nama-nama Abdullah bin Zubair, yang pernah memimpin pasukan pemanah semasa Perang Uhud, dan juga Saad bin Abi Waqqash, seorang panglima perang yang hebat menggunakan panah, cukup dikenali sebagai pejuang bersama Baginda. Malah, Rasulullah sendiri mempunyai busur-busur panah yang digunakan Baginda semasa perang.

    Dari Uqbah bin Amir Radhiallahu anhu dia berkata:

    Saya mendengar Rasullullah shallallahu alaihi wassalam

    Bersabda di atas mimbar:

    “Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki.

    Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah,

    Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah,

    Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah,”

    (Hadis Riwayat Muslim)

    Bersabda Rasulullah SAW,

    “Kamu harus belajar memanah kerana

    memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.”

    (Hadis Riwayat Bazzar dan Thabarani)

    Aktiviti memanah melatih sikap kesabaran dan meningkatkan tumpuan seseorang individu.
    Sukan memanah mampu meningkatkan kekuatan dan kordinasi tangan.
    Para pelajar menerima sijil kursus asas memanah daripada Ar-Rafi Archery Brunei.
    Keluarga besar yang turut menjayakan penubuhan Ar-Rafi Archery Brunei.

    “Begitulah aktiviti memanah ini mempunyai sejarah yang sungguh panjang. Malah, dalam Hadis Rasulullah, berulang kali Baginda bersabda tentang memanah. Mendorong umat Islam untuk belajar ilmu memanah, bukan sekadar berjuang untuk menjadi panglima, tetapi sebenarnya banyak manfaat untuk perkembangan psikologi dan juga fizikal,” ujar Pengerusi Ar-Rafi Archery Brunei, Pengiran Haji Radno bin Pengiran Haji Mohd. Tahir, ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.

    Ar-Rafi, juang remaja di sebalik panah

    Ar-Rafi Archery Brunei ditubuhkan atas sokongan Persatuan Memanah Brunei di bawah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, dengan kerjsama Arash Company, iaitu syarikat perniagaan dan perusahaan gabungan syarikat pereka, pemaju dan perunding hartanah.

    Dipetik dari nama seorang remaja di zaman Rasulullah, Rafi bin Khadij, menurut ristaan ayahnya kepada Rasulullah adalah anak muda yang mempunyai kemahiran memanah dan tombak. Beliau diizinkan oleh Baginda untuk ikut serta dalam Perang Uhud setelah diamati dengan saksama kemampuannya. Ditakdirkan semasa dalam perang itu, Rafi cedera terkena panah, dan mati syahid. Begitulah juang anak muda pada masa itu berkobar-kobar dengan pejuang-pejuang yang lebih dewasa. Walau pada usia 15 tahun, mungkin ahli perang yang termuda pada masa itu, namun, ristaan mengenainya tetap diingati. Seorang yang mahir dalam panah dan sedia bersama berjuang Rasullullah walau pada usia yang muda.

    “Dari namanya itulah, kami menubuhkan Ar-Rafi Archery Brunei, pada 8 September 2017. Walaupun usia penubuhan Ar-Rafi Archery ini agak baru, tetapi pelajar-pelajar yang terkumpul ikut serta dalam kursus memanah kami, telah melebihi 150 orang. Mereka dilatih oleh guru-guru antarabangsa yang profesional,” tambah Pengiran Haji Radno.

    Manfaat sukan memanah

    Menyentuh tentang fakta perkembangan psikologi dan fizikal di sebalik sukan memanah ini, ia mampu memperbaiki kordinasi dan keseimbangan tangan dan mata kerana di detik si pemanah hendak melakukan sasaran, cara memegang busur serta menarik anak panahnya memerlukan kekuatan dan ketelitian tangan, agar menyasar dan melepaskan anak panah dilaksanakan berdasarkan sumber maklumat dari tumpuan mata.

    Sukan memanah diperkenalkan di KUPUSB.
    Salah satu aktiviti Ar-Rafi Archery, berpakaian tradisi Melayu seakan bertempur di zaman dahulu kala.
    Sukan memanah memerlukan daya tumpuan yang tinggi, dan ketepatan.

    Sementara itu, tangan dan jari juga lebih fleksibel kerana dalam sukan ini lebih banyak menggunakan anggota tersebut. Pada masa yang sama, memanah juga mampu membina kekuatan di bahagian atas tubuh badan terutamanya tangan, dada dan bahu kerana setiap pemanah perlu menggunakan anggota-anggota ini yang biasanya ditahankan dalam beberapa saat untuk mendapatkan posisi yang betul sebelum melepaskan anak panah. Latihan yang berulang secara langsung mampu membentuk otot pada bahagian-bahagian tersebut yang akhirnya tampil lebih kuat daripada sebelumnya.

    “Secara psikologinya, sukan ini turut mampu meningkatkan kesabaran, tahap fokus atau konsentrasi dan juga sebagai platform untuk melepaskan tekanan. Ini kerana sewaktu melepaskan anak panah bukannya soal kelajuan, tetapi bagaimana mereka dapat memanah kepada titik sasaran dengan tepat dan ketepatan itu memerlukan tumpuan yang tinggi.

    Mereka perlu mengosongkan minda untuk memberikan tumpuan sepenuhnya, dan merancang yang setentunya memerlukan kesabaran. Hasil keseluruhannya, si pemanah bukan sahaja membentuk peribadi mereka untuk bersabar, tetapi juga mempunyai daya tumpuan yang tinggi. Pada masa yang sama apabila melihat anak panah sampai tepat ke arah sasarannya, para pemain seakan melepaskan tekanan mereka yang akhirnya memberikan pengalaman yang sungguh menyenangkan,” jelas Pengiran Haji Radno sambil memegang busur.

    Berjaya tarik perhatian

    Baru-baru ini, Ar-Rafi Archery Brunei telah beraksi di RBRC berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, bersempena dengan Karnival Sukan RBRC yang berlangsung pada 8 Oktober lalu. Sukan memanah Ar-Rafi berjaya menarik lebih dari 200 orang.

    Menurut Dayang Diviy, selaku Sekretariat dan Pemasaran Ar-Rafi Archery Brunei, sukan ini bukan sahaja menarik perhatian belia-belia tetapi juga kanak-kanak seawal usia lima tahun.

    “Sukan memanah ini sebenarnya boleh dilakukan oleh siapa sahaja, asalkan mereka sudah mempunyai kekuatan tangan. Contohnya, baru-baru ini, kanak-kanak berusia lima tahun ternyata mampu memegang busur dan menarik anak panah dengan tepat. Tambahan pula, jurulatih kami adalah yang terlatih dan profesional. Melalui Karnival Sukan RBRC ini adalah peluang kami untuk memperkenalkan sukan memanah ini pada orang ramai,” ucap Dayang Diviy.

    Pengerusi Ar-Rafi Archery Brunei, Pengiran Haji Radno ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
    Peringkat tertinggi yang memberikan peluang kepada pemanah untuk menunggang kuda sambil memanah ke arah sasaran.
    Semasa acara di Karnival Sukan RBRC yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik ramai pengunjung termasuk para pelancong yang berminat mengetahui aktiviti memanah.
    Pameran anak panah yang sebenar digunakan untuk memburu.

    Menurutnya, Ar-Rafi juga bergabung dengan syarikat memanah dari Malaysia, Al-Badar, menggunakan jurulatih-jurulatih profesional mereka untuk melatih para pelajar yang berdaftar di bawah kursus Ar-Rafi.

    Misi utama penubuhan Ar-Rafi Archery Brunei ini sebenarnya adalah untuk melahirkan dan mewujudkan semula aktiviti memanah yang mungkin tidak begitu terdedah pada sebelum ini, di mana orang ramai dapat mengisi masa lapang mereka secara sihat dan positif. Ini sekaligus menghidupkan semula Sunnah Rasulullah yang mendorong umatnya belajar memanah, bukan bererti sekadar untuk tujuan perang, tetapi pada kali ini sebagai manfaat kesihatan yang dapat diperolehi daripada sukan tersebut.

    Melahirkan atlet

    Ar-Rafi Archery Brunei adalah syarikat pertama tanah air yang menawarkan kursus pendidikan rasmi memanah, iaitu bermula dari kursus asas (pembelajaran secara teori dan praktikal), kursus lanjutan dari peringkat pertama hingga kursus memanah peringkat 4, iaitu ditahap para peserta belajar memanah sambil menunggang kuda. Setiap kursus ini memakan masa kira-kira tiga bulan atau sembilan minggu yang akhirnya peserta perlu menyertai peperiksaan untuk mara ke peringkat seterusnya.

    Para pelajar ini nanti tidak mustahil akan menjadi atlet wakil Brunei bertanding di peringkat antarabangsa, kerana sukan ini cukup dikenali di dunia dan setiap negara memang mempunyai atlet-atlet mereka. Manalah tahu, dalam beberapa tahun akan datang, Brunei juga dapat ikut serta bertanding dalam sukan ini, di peringkat Sukan Sea atau Olimpik sekaligus mencipta satu sejarah baru kepada negara.

    Kini, Ar-Rafi Archery Brunei mendapat tarikan daripada beberapa pihak sekolah dan institusi tinggi. Mereka ini memasukkan sukan memanah sebagai aktiviti kelab, dan ada juga pihak universiti yang ingin menjadikannya sebagai salah satu subjek dalam pendidikan jasmani. Tidak kira kanak-kanak, belia atau mereka yang dewasa, sukan ini secara tidak langsung membantu perkembangan diri setiap individu sama ada meningkatkan tumpuan belajar di dalam kelas, melakukan pekerjaan lebih bersemangat, dan sebagainya.

    Sama ada bertujuan untuk suka-suka atau perkembangan diri sendiri atau sebagai atlet, sukan memanah ini menyimpan rahsia yang hanya dapat dihayati oleh pemainnya. Setiap sunnah Rasulullah mempunyai rahsia kebaikannya, termasuklah seni memanah, menunggu waktu untuk kita menerokai manfaat dan faedah di sebaliknya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda