PUTRAJAYA, 12 SEPT – Permainan rampanau yang popular dalam kalangan masyarakat Dusun di Sabah dan mintubow yang sinonim dengan komuniti Melayu dan Bidayuh di Sarawak adalah antara tarikan Festival Permainan Malaysia (FPM) edisi kelapan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka hujung minggu ini.
Dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersempena dengan Hari Malaysia 2023, FPM akan diadakan dari 15 hingga 17 September dengan penglibatan 1,520 peserta permainan tradisional antaranya congkak, galah panjang, dam aji, kabaddi, termasuk tarian magunatip (tarian buluh) Sabah dan aktiviti menyumpit Sarawak.
Permainan rampanau kebiasaannya menggunakan dahan pohon sagu, kayu keras dan dua batang buluh yang berukuran kira-kira tiga meter hingga 10 meter yang direka khas sebagai kasut tinggi dan untuk bermain, pemain mesti berjalan atau berlari menggunakan alat rampanau berkenaan.
Mintubow merupakan permainan gasing yang lazimnya dimainkan selepas musim menuai padi dan pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.
Bercakap kepada Bernama, Pengarah JKKN WPKL Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi berkata buat julung kalinya, FPM akan menampilkan demonstrasi Chingay dari Pulau Pinang dan persembahan silat iaitu Segerak Silat@Kuala Lumpur.
“Sebanyak 70,000 hadirin disasarkan untuk menyertai festival itu,” katanya yang menyarankan pengunjung menggunakan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT untuk ke Dataran Merdeka. – Bernama