KUALA LUMPUR, 14 April – Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7:10 malam ini.

Perkara itu disahkan menantunya Khairy Jamaluddin melalui hantaran di Instagram hari ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham berusia 85 tahun.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Abdullah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, berikutan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. – Bernama