Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tun Mahathir tampil bersuara tentang tindakan Trump

    PUTRAJAYA, 9 MEI – Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tiga bulan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sebelum rakyatnya sendiri memaksa beliau menilai semula strategi tarif global yang ketat, sambil menuduh pemimpin itu ‘hidup dalam dunia lama’.

    Dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP dua bulan sebelum menyambut ulang tahun kelahiran ke-100, Mahathir yang terkenal dengan sikap lantangnya berkata, “Trump akan dapati tarifnya menyusahkan Amerika, dan rakyat di Amerika akhirnya akan menentangnya.”

    Pelaksanaan tarif oleh Presiden AS yang tidak konsisten dijangka memberi kesan besar kepada negara-negara Asia – termasuk Malaysia, yang bakal berdepan dengan cukai import sebanyak 24 peratus pada Julai sekiranya tiada perjanjian dicapai antara kedua-dua negara.

    “Ia akan menimbulkan banyak masalah kepada Amerika, jadi saya beri Trump tiga bulan,” kata Mahathir, yang pernah mentadbir Malaysia dalam dua tempoh pemerintahan selama hampir suku abad.

    Masih bekerja lima hari seminggu di pejabatnya di Putrajaya, tokoh nonagenarian itu kekal lantang dan bersemangat.

    Tun Mahathir yang hampir mencapai usia 100 tahun, berdiri di luar pejabatnya di Putrajaya. – AFP

    “Donald Trump tidak rasional. Saya tidak fikir dia berfikir dengan mendalam mengenai tindakannya,” ujar Mahathir.

    “Dasarnya mengenai migrasi serta cubaan untuk mengurangkan kos kerajaan dengan memecat ribuan orang, semua itu tidak baik.

    “Ia tidak akan menjadikan Amerika hebat,” tambah beliau, menyindir slogan kempen Trump, Make America Great Again.

    Apabila ditanya mengenai beberapa dasar luar Trump – termasuk cadangan mengambil alih Greenland dan menguasai Terusan Panama – Mahathir menyifatkan Presiden AS itu sebagai ‘hidup dalam dunia lama’.

    Sepanjang kerjayanya yang panjang, Mahathir merupakan penyokong dasar ‘Pandang ke Timur’ – menggesa rakyat Malaysia mencari penyelesaian di Asia daripada bergantung kepada negara Barat.

    Ketika tarif AS semakin menghampiri, Mahathir masih berpegang pada pendirian itu.

    China menjadi sasaran utama dalam polisi perdagangan agresif Trump dengan tarif setinggi 145 peratus terhadap banyak barangan.

    Presiden China, Xi Jinping baru-baru ini melawat Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatan tiga negara di Asia Tenggara, di mana beliau menyeru kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda