Friday, April 18, 2025
30.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tun Musa rasmi istiadat pembukaan DUN Sabah hari ini

    KOTA KINABALU, 9 APRIL – Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dijadual merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Tahun 2025 Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, esok.

    Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata ini merupakan istiadat pembukaan persidangan DUN Sabah pertama selepas Musa yang juga bekas Ketua Menteri mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 pada Januari lepas.

    Kadzim berkata pihaknya telah mengadakan persiapan bagi memastikan perjalanan istiadat perasmian itu berlangsung dengan teratur, yang antara lain melibatkan ketibaan Musa, upacara tabik hormat dan pemeriksaan barisan kehormat.

    “Esok, ada dua pengisian. Pertama, perasmian persidangan DUN yang akan dihadiri lebih 500 orang. Kedua, selepas ucapan dasar oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa, kita akan beredar untuk jamuan Aidilfitri dengan (tetamu) dijangka 1,500 orang,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata persidangan DUN Sabah akan berlangsung selama empat hari mulai 14 April dengan empat Rang Undang-undang (RUU) akan dibentangkan melibatkan tiga RUU Pindaan merangkumi undang-undang tanah, hutan dan perumahan, manakala satu RUU baharu berkaitan gajah. 

    Kadzim berharap semua wakil rakyat dapat mengambil bahagian dalam persidangan DUN kali ini dengan mengutarakan idea bernas dan hanya membahaskan isu mahupun perkara terkandung dalam ucapan dasar kerajaan negeri yang disampaikan Musa bagi membolehkan persoalan dijawab kementerian berkaitan. – Bernama

    Tun Musa Aman (tengah) ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Center (SICC) pada 5 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda