Kita mengetahui bahawa antara langkah yang diperintahkan oleh pihak kerajaan adalah tidak berada di tempat yang ada ramai orang dan melakukan penjarakkan sosial.
Namun, langkah-langkah ini sepertinya tidak begitu dihiraukan oleh rakyat dan penduduk di negara ini.
Pada hari Ahad lalu saya membawa ibu saya ke pasar Gadong untuk membeli ikan. Dengan harapan tidak berapa ramai orang pergi ke pasar Gadong dan adanya penjarakkan sosial. Namun harapan itu tinggal harapan kerana ramai orang berpusu-pusu ke pasar Gadong sehinggakan jalan memasuki kawasan berkenaan sesak teruk.
Apa yang mengejutkan saya lagi, orang terlalu ramai di dalam pasar berkenaan malah mereka membuat perkumpulan di beberapa tempat tanpa adanya penjarakkan sosial. Saya faham pasar Gadong salah satu tumpuan pasar basah yang mudah dikunjungi. Tetapi di mana tanggung jawab kita untuk mengikut apa yang diarahkan untuk membendung penularan COVID-19. Kita takut dan kita mahu wabak ini hilang tapi jika kita tidak menghiraukan arahan kerajaan bagaimana kita dapat membantu kerajaan membendung penularan wabak ini?
Sehinggakan saya lihat, ramai yang masih bebas bersalaman. Hanya beberapa orang saja yang dapat dihitung dengan jari terlihat memakai sarung tangan dan topeng muka. Dalam fikiran saya, pasar Gadong juga perlu mengehadkan keramaian pelanggan memasuki pasar berkenaan dan ada tanda garisan bagi penjarakkan sosial dibuat. Demi kebaikan semua, tunaikanlah tanggung jawab kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, patuhi arahan oleh pihak kerajaan. – Ahli Teropong