Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tunaikan hasrat perkembangkan karier di Eropah

    PELAKON dan pengacara Neelofa bakal menandatangani kontrak dengan dua buah agensi masing-masing di United Kingdom (UK) dan Perancis dalam usaha mengembangkan karier dan perniagaannya di Eropah.

    Neelofa, 29, berkata, kedua-dua agensi itu bakal mewakilinya bagi dalam bidang fesyen dan kecantikan selain mengembangkan rangkaian tudung jenamanya, Naelofar Hijab.

    “Insya-Allah tidak lama lagi saya akan berangkat ke sana untuk menandatangani kontrak bersama dua agensi tersebut.

    “Kedua-dua agensi itu sudah kukuh di Eropah dan mereka akan mewakili saya dalam usaha mengembangkan rangkaian fesyen dan kecantikan.

    “Menjadi hasrat saya untuk membawa imej Muslimah dan berhijab dalam fesyen dalam pasaran di sana memandangkan gaya modest semakin mendapat tempat di Eropah,” katanya.

    Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia sudah lama memasang impian mengembangkan karier dan perniagaan di luar negara namun tidak mempunyai saluran atau mengetahui cara yang tepat untuk berbuat demikian.

    Neelofa bakal menandatangani kontrak dengan dua buah agensi masing-masing di United Kingdom (UK) dan Perancis dalam usaha mengembangkan karier dan perniagaannya di Eropah. – Agensi

    Katanya, dia mahu ke luar negara kerana tidak mahu terus berada dalam zon selesanya kini dan perlu melakukan sesuatu yang berbeza dan mencapai matlamatnya.

    “Alhamdulillah saya berpeluang bertemu dengan seorang ejen dari Amerika Syarikat yang kini adalah pengurus global saya iaitu Norman.

    “Norman yang juga berkahwin dengan rakyat Malaysia sangat memahami visi saya malah dia mempunyai kepakaran merealisasikan impian saya.

    “Beliau juga yang membantu mendapatkan kontrak di United Kingdom dan Perancis,” jelasnya.

    Dalam perkembangan lain, Neelofa berkata, dia masih berminat untuk berlakon namun sukar untuk memberi komitmen kerana jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti termasuk akan kerap berada di Eropah sepanjang tahun hadapan.

    Pun begitu kata Neelofa, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan tanggungjawabnya sebagai hos program MeleTOP yang sudah memasuki tahun keenam.

    “Saya ada terfikir hendak berlakon tetapi jadual sudah agak padat tahun hadapan namun saya bersyukur MeleTOP adalah platform untuk peminat melihat saya di televisyen setiap minggu.

    “Buat masa ini saya tidak terfikir langsung untuk tinggalkan MeleTOP kerana program itu istimewa dalam hati saya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda