Sunday, April 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tunaikan kewajipan zakat fitrah

    Oleh Nurdiyanah R.

    Begitu cepat masa berlalu, tanpa kita disedari kini sudah dua minggu berada di bulan Ramadan, bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan.

    Pada bulan seribu rahmat ini, selain menahan diri daripada lapar dan dahaga serta meningkatkan amalan bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT, ia juga memberi ruang dan peluang kepada kita untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan salah satunya iaitu kewajipan mengeluarkan zakat ke atas semua umat Islam yang cukup syarat-syaratnya untuk menunaikannya.

    Mengeluarkan zakat merupakan Rukun Islam yang keempat selepas berpuasa di bulan Ramadan. Adapun pengertian zakat dari segi bahasa itu ialah suci, bersih, berkat, bertambah dan subur manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud mengeluarkan sebahagian harta dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan untuk diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya.

    Zakat itu terbahagi kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu Islam sama ada lelaki atau perempuan yang mampu untuk mengeluarkan dan membayarnya dalam bulan Ramadan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan.

    Manakala zakat harta pula ialah zakat yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang memiliki harta kekayaan yang tertentu mengikut syarat-syarat yang tertentu seperti zakat binatang ternakan; tanam-tanaman; emas dan perak serta wang simpanan; perniagaan dan juga zakat harta yang terpendam (Rikaz).

    Pelbagai platform pembayaran zakat fitrah secara digital telah tersedia di negara ini, iaitu BIBD QuickPay, TAIB Zakat Fitrah Online, DST eZakat dan Progresif PAY.
    Mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta.
    Bagi Negara Brunei Darussalam, kadar zakat fitrah bagi setiap orang Islam adalah berdasarkan harga dua jenis beras yang biasa dimakan di negara ini iaitu beras wangi dan beras Siam.

    Oleh yang demikian, mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta. Ini terbukti dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 110 sebagaimana tafsirnya:

    “Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat.”

    Hikmat di sebalik kewajipan zakat

    Adapun tujuan zakat adalah untuk mengagihkan kekayaan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Dengan membayar zakat juga, kita dapat membersihkan diri daripada sifat Mazmumah (tercela) seperti sifat kedekut, hasad dengki, iri hati, sombong, takbur dan sebagainya.

    Jika harta itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan di jalan yang betul, sudah tentu akan terjalin keharmonian di antara golongan kaya dan miskin. Dengan menunaikan zakat juga dapat membentuk akhlak Mahmudah (mulia) seperti bertakwa, pemurah, rasa tolak ansur dan rasa simpati kepada golongan yang kurang bernasib baik.

    Orang yang membayar zakat tidak akan menyebabkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya kerana di dalam zakat ada hikmah berupa keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pengeluar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri.

    Berkah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, dengan membayar zakat kita akan mendapat keredaan daripada Allah SWT, dan mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakanNya di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim sekali gus melahirkan rasa kasih sayang semasa Islam.

    Ketetapan zakat fitrah

    Bagi Negara Brunei Darussalam, kadar zakat fitrah bagi setiap orang Islam adalah berdasarkan harga dua jenis beras yang biasa dimakan di negara ini dengan kadar sukatan sebanyak dua kilogram 268 gram, iaitu beras wangi $2.84 manakala bagi beras Siam pula sebanyak $1.93.

    Adalah harus yakni sah mengeluarkan zakat fitrah dengan salah satu kategori beras sahaja iaitu mengikut beras yang lazim dimakan sehari-hari. Namun sesiapa yang suka memakan beras Siam dan pada masa yang sama juga memakan beras wangi maka dalam hal ini lebih afdal baginya mengeluarkan zakat fitrah menggunakan kiraan beras wangi.

    Menyentuh waktu mengeluarkan zakat fitrah itu terbahagi kepada lima iaitu wajib apabila terbenam matahari akhir bulan Ramadan sehingga terbit matahari esoknya. Waktu harus atau afdal pula sebelum solat Sunat Hari Raya Aidilfitri. Sementara umat Islam disunatkan mengeluarkan zakat fitrah di sepanjang bulan Ramadan.

    Manakala hukum mengeluarkan zakat fitrah itu menjadi makruh selepas solat Sunat Hari Raya Aidilfitri hingga terbenam matahari pada 1 Syawal dan ia akan menjadi haram setelah terbenam matahari 1 Syawal bahkan perbuatan ini adalah suatu dosa namun wajib dibayar juga sebagai qadha, kerana dikeluarkan di luar waktu.

    Lantikan 348 amil

    Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) merupakan badan agama Islam yang tertinggi di negara ini yang mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan dan agihan wang zakat iaitu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi bab-bab 114 hingga 121 dan juga Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

    Sejak berkuat kuasanya Peraturan Zakat dan Fitrah 1969 ini, MUIB melantik amil-amil yang terdiri daripada pegawai-pegawai masjid, imam-imam, bilal-bilal, ketua-ketua kampung, guru-guru agama, pegawai-pegawai beruniform dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan juga para kakitangan kerajaan yang bersesuaian.

    Pada tahun ini, seramai 348 orang amil telah dilantik bagi 142 kawasan tempat mengutip zakat di seluruh negara, iaitu Daerah Brunei dan Muara seramai 196 orang amil bagi 81 kawasan; di Daerah Belait seramai 24 orang amil bagi 15 kawasan; di Daerah Tutong seramai 54 orang amil bagi 30 kawasan; dan di Daerah Temburong pula seramai 26 orang amil bagi 12 kawasan. Manakala Jabatan MUIB pula, seramai 48 orang amil yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut telah dilantik untuk mengutip zakat di keempat-empat daerah.

    Pembayaran zakat fitrah secara digital

    Sebagai alternatif pembayaran zakat fitrah iaitu perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian yang telah diperkenalkan MUIB, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sejak awal bulan April tahun lalu maka ia sebagai matlamat bagi memudahkan masyarakat Islam di negara ini untuk menunaikan kewajiban zakat fitrah dengan penjimatan masa dan keselamatan kewangan lebih-lebih lagi berimpak di sebalik cabaran krisis kesihatan.

    Pelbagai platform pembayaran zakat fitrah secara digital telah tersedia di negara ini, iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) QuickPay, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) Zakat Fitrah Online, DST eZakat dan Progresif PAY.

    Dalam pada itu, sungguhpun zakat fitrah secara dalam talian dilaksanakan pada Ramadan tahun ini, kaedah pembayaran zakat fitrah melalui amil-amil di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat atau di rumah-rumah amil masih tetap berjalan seperti biasa sepertimana di tahun-tahun yang sudah.

    Oleh yang demikian, apabila syarat-syarat wajib zakat sudah mencukupi, hendaklah kita mengeluarkannya. Janganlah kita kedekut mengorbankan sedikit harta untuk berzakat sedangkan mengeluarkan zakat itu membawa keberkatan pada harta kita. Ingatlah orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat itu bukan sahaja mendapat hukuman di dunia bahkan juga akibatnya akan menerima balasan yang amat berat di akhirat kelak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda