Friday, November 1, 2024
33.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tunaikan zakat sebagai kewajipan orang Muslim

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pada bulan yang penuh keberkahan ini, umat Islam selain menahan diri daripada lapar dan dahaga serta meningkatkan amalan bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT, ia juga memberi ruang dan peluang kepada kita untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan salah satunya ialah mengeluarkan zakat yang diwajibkan ke atas semua umat Islam yang cukup syarat bagi menunaikannya.

    Zakat merupakan Rukun Islam yang keempat selepas berpuasa pada bulan Ramadan.

    Adapun pengertian zakat dari segi bahasa itu adalah suci, bersih, berkat, bertambah dan subur. Manakala dari segi istilah syarak pula ialah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

    Zakat itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah bermaksud zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu Islam sama ada lelaki atau perempuan yang mampu untuk mengeluarkan dan membayarnya dalam bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

    Manakala zakat harta pula ialah zakat yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang memiliki harta kekayaan yang tertentu mengikut syarat-syarat yang tertentu seperti zakat binatang ternakan, tanam-tanaman, emas dan perak serta wang simpanan, perniagaan dan juga zakat harta yang terpendam (rikaz).

    Umat Islam diwajibkan untuk mengeluarkan zakat bagi diri sendiri dan tanggungannya untuk melengkapkan ibadat puasa kita agar diterima oleh Allah SWT.
    Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar zakat semasa Majlis Pembayaran Zakat Fitrah dan Harta di bangunan JPA pada 14 Mei 2020.
    Orang ramai kini boleh membuat pembayaran zakat secara digital menerusi BIBD QuickPay. – Gambar serahan BIBD

    Oleh yang demikian, mengeluarkan zakat itu hukumnya wajib ke atas setiap Muslim yang mencukupi syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta. Ini terbukti dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 110 sebagaimana tafsirnya, “Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat.”

    Adapun tujuan zakat disyariatkan adalah untuk mengagihkan kekayaan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Dengan membayar zakat juga, kita dapat membersihkan diri daripada sifat mazmumah seperti sifat kedekut, hasad dengki, iri hati, sombong, takbur dan sebagainya.

    Jika harta itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan di jalan yang betul, sudah tentu akan terjalin keharmonian antara golongan kaya dan miskin. Dengan menunaikan zakat juga dapat membentuk akhlak mahmudah seperti bertakwa, pemurah, bertolak ansur dan simpati kepada golongan yang kurang bernasib baik.

    Dengan membayar zakat tidak akan menyebabkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya kerana di dalam zakat ada hikmah berupa keberkatan yang dikurniakan Allah SWT kepada pengeluar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri.

    Bagi Negara Brunei Darussalam, kadar zakat fitrah bagi setiap orang Islam adalah berdasarkan harga dua jenis beras yang biasa dimakan di negara ini dengan kadar sukatan sebanyak dua kilogram 268 gram, iaitu beras wangi sebanyak $2.84 manakala bagi beras Siam pula sebanyak $1.93.

    Adalah harus yakni sah mengeluarkan zakat fitrah dengan salah satu kategori beras sahaja iaitu mengikut beras yang lazim dimakan sehari-hari. Namun sesiapa yang suka memakan beras Siam dan pada masa yang sama juga memakan beras wangi maka dalam hal ini lebih afdal baginya mengeluarkan zakat fitrah menggunakan kiraan beras wangi.

    Menyentuh waktu mengeluarkan zakat fitrah itu terbahagi kepada lima iaitu waktu harus sejak awal bulan Ramadan, waktu sunat pula selepas sembahyang fardu Subuh dari awal Ramadan sehingga imam mendirikan sembahyang Hari Raya Aidilfitri dan waktu wajib setelah terbenam matahari akhir bulan Ramadan.

    Manakala hukum mengeluarkan zakat fitrah itu menjadi makruh selepas sembahyang Hari Raya Aidilfitri sehingga terbenam matahari pada 1 Syawal dan ia akan menjadi haram setelah terbenam matahari Hari Raya Aidilfitri yang pertama bahkan perbuatan ini merupakan dosa namun wajib dibayar juga sebagai qada, kerana dikeluarkan pada luar waktu.

    Pada tahun ini, lebih 350 orang amil telah dilantik di seluruh negara dengan menerima tauliah daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi menjalankan tanggungjawab dalam mengumpul zakat sepanjang bulan Ramadan.

    Perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian yang telah diperkenalkan MUIB, KHEU sejak awal bulan April 2021 maka ia sebagai matlamat bagi memudahkan masyarakat Islam di negara ini untuk menunaikan kewajiban zakat fitrah dengan penjimatan masa dan keselamatan kewangan lebih-lebih lagi berimpak di sebalik cabaran krisis kesihatan.

    Pelbagai platform pembayaran zakat fitrah secara digital telah tersedia di negara ini, iaitu melalui eZakat Datastream Digital Sdn Bhd (DST), QuickPay Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) , Zakat Fitrah Online PerbadananTabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Progresif PAY.

    Dalam pada itu, sungguhpun zakat fitrah secara dalam talian dilaksanakan pada Ramadan tahun ini, kaedah pembayaran zakat fitrah melalui amil-amil di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat atau di rumah-rumah amil masih tetap berjalan seperti biasa sepertimana pada tahun-tahun yang sudah.

    Oleh yang demikian, apabila syarat-syarat wajib zakat sudah mencukupi, hendaklah kita mengeluarkannya. Janganlah kita kedekut mengorbankan sedikit harta untuk berzakat sedangkan mengeluarkan zakat itu membawa keberkatan pada harta kita.

    Ingatlah bahawa orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat itu bukan sahaja mendapat hukuman di dunia bahkan juga akibatnya akan menerima balasan yang amat berat di akhirat kelak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda