Penantian suatu penyeksaan. Namun, siapa sangka berkat kesabaran, keikhlasan dan kerja keras penyanyi Marsha Milan Londoh, 37, akhirnya membawa suatu titik membanggakan.
Ketika kebanyakan peminat hampir terlupa bintang kelahiran musim ketiga Akademi Fantasia (AF) pada 2005 adalah penyanyi apabila kerjaya pelakon dan pengacara lebih menonjolkan bakatnya, Marsha tidak putus berjuang.
Menerusi lagu Cinta karya ciptaan Bunga Cantik dan Hang Nadim, Marsha akhirnya membuka mata khalayak, bakatnya sebagai penyanyi belum menemui titik noktah.
Malah, Marsha berjaya membuat juri dan khalayak terpukau dengan vokal mantapnya ketika beraksi pada malam kemuncak, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36, baru-baru ini.
Tiada siapa menduga wanita kelahiran Michigan, Amerika Syarikat (AS) itu beroleh kemenangan apabila sebagai naib juara dan dipilih memenangi kate-gori Persembahan Terbaik, AJL 36.

Lantunan vokalnya meremang bulu roma dan hanya tewas tipis di tangan Aina Abdul yang diumumkan pemenang Vokal Terbaik AJL 36.
Namun, di sebalik kejayaan diraih selepas 17 tahun menanti, wanita keturunan Kadazan-Dusun itu berdepan banyak dugaan, termasuk kehilangan bapa mentua dan dua kali diuji dengan COVID-19. Malah, demo asal rakaman lagu Cinta juga hilang dalam simpanan komputer. Namun, Marsha tetap berkeras mahukan lagu asal Cinta hingga terpaksa meminta pertolongan komposer.
“Jika diberi kesempatan, saya mahu menyanyikan semula lagu Cinta di pentas AJL 36. Namun, ia sesuatu yang mustahil.
“Mungkin ramai memuji persembahan saya pada AJL 36, namun, saya sendiri merasakan masih ada kekurangan.
“Selepas mendengar dan menonton semula persembahan dalam YouTube, saya tak malu akui masih ada kelemahan dan kekurangan. Geram juga sebab tidak mampu membuat sehabis baik.
“Secara teknikal, saya merasakan vokal mendatar, tidak kemas atau lebih tepat, ada juga kedengaran sumbang,” katanya kepada BH Online.
Marsha berkata, dia hanya sempat menjalani latihan dan sesi raptai sekali sahaja. Marsha menyifatkan, lagu Cinta cukup indah, malah, memuji susunan baharu yang dilakukan pengarah muzik, Genervie Kam untuk AJL 36.
“Setiap baris perkataan hanya ada satu hingga dua saat untuk saya bernafas. Bayangkan, dalam masa sama saya terpaksa menahan batuk dan pernafasan selepas pulih COVID.
“Ada masanya saya seperti berlari, jadi ia memang mencabar. Susunan muzik baharu menjadikan ia lagu agak berbeza daripada asal.
“Lagu Cinta seperti lagu baharu pada tahap lain. Terima kasih Genervie kerana menghasilkan susunan muzik dengan baik. Saya tersentuh membaca luahan hatinya dalam Instagram dan kisah pergelutan dalam AJL 36,” katanya. – Agensi