KORBOUS, TUNISIA – Dengan pinggir laut Mediterranean, mata air terma semula jadi, cuaca cerah dan harga berpatutan, Tunisia telah menjadi destinasi kedua terbesar di dunia untuk rawatan berasaskan air laut yang dikenali sebagai talasoterapi.
Kini, ia memasang cita-cita untuk memintas Perancis sebagai destinasi negara teratas.
“Kelebihan utama Tunisia ialah pantai dan talasoterapinya berbanding negara jiran,” kata Mario Paolo, seorang warga Itali, di spa terma Korbous, yang terletak di atas bukit dan mengambil masa perjalanan sejam memandu dari ibu negara, Tunis.
Seorang pesara berusia 78 tahun yang menetap di Tunisia sejak lima tahun lalu, Paolo berkata dia kerap mengunjungi pusat talasoterapi Tunisia ‘untuk sihat semula’.
“Menikmati air laut dan mata air semula jadi bukan sekadar riadah masa lapang tetapi juga terapi,” kata Paolo selepas sesi urut menggunakan minyak thyme dan rosemary.
Korbous, sebuah bandar pantai di semenanjung Cap Bon, dari segi sejarah menjadi salah satu tempat terapi yang popular di Tunisia, yang menggunakan air laut dan sumber marin yang lain.
Talasoterapi ialah ‘warisan nenek moyang’ bagi rakyat Tunisia, “memandangkan hidroterapi telah wujud di Tunisia sejak zaman dahulu, pada zaman Carthaginians dan Rom,” beritahu Shahnez Guizani, ketua Pejabat Termalisme Kebangsaan (ONTH), kepada AFP.
Destinasi talasoterapi popular lain di negara ini termasuk Sousse, Hammamet, Monastir dan Djerba, yang menurut agensi berita Tunisia TAP dinamakan sebagai ibu kota talasoterapi Mediterranean pada 2014 oleh Persekutuan Hidroterapi dan Klimatoterapi Dunia.
Rouaa Machat, 22, berkata dia mengembara dari Perancis ke Korbous untuk bersantai selama tiga hari.
“Saya di sini untuk menikmati jenis air yang ditawarkan oleh bandar yang indah ini,” katanya merujuk kepada penggunaan air laut, air mata air dan air penyahgaraman untuk terapi.
“Tetapi saya juga di sini untuk menikmati pemandangan ini,” tambahnya sambil tersenyum dan menunjuk ke laut dan gunung Korbous.
Pelanggan kebanyakannya datang untuk kualiti air mata air, kata Raja Haddad, seorang doktor yang mengetuai pusat talasoterapi di hotel Royal Tulip Korbous Bay.
Hari ini, Tunisia mempunyai 60 pusat talasoterapi dan 390 kolam air mineral, 84 peratus daripadanya terletak di hotel, menurut ONTH.
Pelancongan menyumbang tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyediakan hampir setengah juta pekerjaan, menurut angka rasmi.
Sektor tersebut telah menyaksikan kemerosotan selama sedekad disebabkan serangan pengganas dan kemudiannya wabak COVID-19.
Tetapi ia telah pulih semula apabila bilangan pelawat asing melebihi 10 juta tahun lalu – satu rekod bagi negara yang mempunyai 12 juta penduduk.
‘POKOK PALMA DAN MATAHARI’
Guizani berkata talasoterapi dengan sendirinya menarik kira-kira 1.2 juta pelawat asing setahun, dengan ‘70 peratus datang dari Eropah, termasuk 40 peratus dari Perancis’.
Industri ini menjana kira-kira 200 juta dinar (AS$63 juta, 60 juta euro) setahun, tambahnya.
Ia berbanding dengan pasaran talasoterapi Perancis yang bernilai sekitar 100 juta euro tahun lepas, menurut firma penyelidikan pasaran Businesscoot.
Di sebuah hotel mewah berhampiran Monastir, sebuah pusat talasoterapi sibuk melayan pelanggan walaupun musim sejuk yang dingin.
Pelawat datang dari Perancis, Jerman, United Kingdom, Kanada dan negara lain.
“Sebaik sahaja awda tiba, awda menemui pokok palma dan sinaran matahari,” kata Monique Dicrocco, seorang pelancong Perancis berusia 65 tahun.
“Ia satu kebahagiaan, dan ia juga berbaloi dengan wang yang awda belanjakan.
“Di sini terapinya jauh lebih murah berbanding di Perancis, dengan 1,000 euro seminggu termasuk semua dan bukannya 3,000 euro,” tambahnya.
Jean-Pierre Ferrante, 64, dari Cannes, berkata dia mendapati ‘kualiti air dan kemudahannya adalah setanding seperti yang terdapat di Perancis’.
Kaouther Meddeb, ketua pusat talasoterapi dan spa di Hotel Royal Elyssa di Monastir, berkata jumlah pelanggan telah meningkat sejak kebelakangan ini.
Meskipun memenuhi piawaian antarabangsa, namun sektor itu masih kurang dihargai di Tunisia, katanya.
“Terdapat kekurangan komunikasi dan promosi,” tambahnya.
Pakar berkata lebih banyak pelaburan diperlukan dalam infrastruktur. Ini termasuk penambahbaikan jalan raya dan perkhidmatan udara, kata mereka, memandangkan tidak terdapat banyak penerbangan tambang rendah.
Namun rancangan sedang dilaksanakan untuk membangunkan pusat peranginan terma mesra alam di kawasan seperti Beni M’tir, sebuah perkampungan pergunungan di barat laut, dan berhampiran Tasik Ichkeul di selatan Bizerte, kata Guizani.
“Dengan semua kelebihan yang ada, Tunisia bersedia untuk menjadi peneraju dunia dalam talasoterapi,” tambahnya. – AFP