Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tunjuk perasaan baharu dijangkakan di Venezuela

    CARACAS, 30 JULAI – Tunjuk perasaan baharu dijangka diadakan di Venezuela pada hari ini selepas seorang maut apabila pasukan keselamatan cuba meleraikan bantahan yang dicetuskan oleh keputusan pilihan raya yang dipertikaikan yang memberikan Presiden Venezuela Nicolas Maduro penggal kuasa ketiga.

    Pasukan keselamatan kelmarin melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah pada penunjuk perasaan marah yang mencabar kemenangan pilihan raya semula Maduro tetapi dipertikaikan oleh pembangkang dan dipersoalkan oleh banyak negara lain.

    Beribu-ribu orang membanjiri jalan-jalan di beberapa kawasan kejiranan di ibu negara, sambil melaungkan ‘Kebebasan, kebebasan!’ dan ‘Kerajaan ini akan tumbang!’

    Ada yang mencarik poster kempen Maduro dari tiang-tiang jalan dan membakarnya.

    Sekurang-kurangnya dua patung Hugo Chavez, mendiang revolusi sosialis yang memimpin Venezuela selama lebih sedekad dan memilih Maduro sebagai penggantinya, telah dirobohkan oleh penunjuk perasaan.

    Seorang maut di negeri barat laut Yaracuy dan 46 telah ditahan dalam demonstrasi selepas pilihan raya, kata Alfredo Romero, ketua kumpulan hak asasi Penal Foro yang pakar dalam isu tahanan politik, di platform media sosial X. Dia tidak menyatakan punca kematian itu.

    Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) mengesahkan pemilihan semula Maduro, 61, untuk penggal enam tahun lagi sehingga 2031.

    Ketua pembangkang Maria Corina Machado memberitahu pemberita bahawa semakan rekod pengundian yang ada jelas menunjukkan bahawa presiden akan datang ‘adalah Edmundo Gonzalez Urrutia,’ yang menggantikannya dalam undian itu selepas dia dilarang oleh mahkamah yang menyokong Maduro.

    Rekod itu menunjukkan pendahuluan ‘tidak boleh diterbalikkan’ untuk Gonzalez Urrutia, katanya, dengan 6.27 juta undi berbanding 2.75 juta bagi Maduro.

    Dia menyeru agar keluarga-keluarga hadir pada hari ini untuk ‘perhimpunan popular’ di seluruh negara bagi menunjukkan sokongan kepada peralihan kuasa secara aman. – AFP

    Penunjuk perasaan membakar sekatan semasa tunjuk perasaan menentang kerajaan Presiden Nicolas Maduro di Caracas pada 29 Julai, sehari selepas pilihan raya presiden Venezuela. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda