CARACAS, 21 April – Pertempuran baru meletus semalam antara polis antirusuhan Venezuela dan para penentang Presiden Nicolas Maduro yang memarakkan lagi ketegangan selepas sehari kerusuhan yang membawa maut di negara yang kaya dengan hasil minyak namun berdepan dengan sekatan.
Polis melepas gas pemedih mata dan peluru getah untuk meleraikan beribu-ribu orang yang berarak apabila mereka sampai ke lebuh raya penting di Caracas, kemudian berundur ke belakang sedikit apabila para pembantah bertopeng melontar batu dan bom botol ke arah mereka.
Para penunjuk perasaan berikrar tidak akan mengelak dalam kempen mereka untuk menyingkirkan Maduro, di sebalik bantahan ganas selama tiga minggu yang mengorbankan lapan orang, termasuklah tiga orang Rabu lalu.
“Pasti kami letih, tetapi kami mesti terus bertahan. Saya bersedia keluar ke jalan-jalan raya setiap hari jika saya perlu,” kata pelajar berusia 22 tahun, Aquiles Aldazoro. Para pembantah membakar tong-tong sampah dan meruntuhkan papan besar untuk dijadikan perintang bagi diri mereka sendiri, ketika para pegawai melepaskan meriam air ke arah mereka dan sebuah helikopter berlegar di ruang udara.
“Saya tidak peduli jika saya menyedut gas, saya tidak peduli jika saya mati. Kita mesti hentikan kerajaan yang menindas dan membunuh ini,” kata Natasha Borges, 17 tahun.

Seorang pembantah, yang berbogel sepenuhnya dengan hanya mengenakan kasut sniker, berjalan ke arah polis dan menjerit “Tolong, hentikan serangan bom ke atas kami.”
Seorang lagi berbungkus dengan bendera Venezuela dengan ingkar berjalan ke arah sebuah lori perisai dan merenungnya.
Pertempuran juga meletus di San Cristobal, Maracaibo bandar barat yang bertikai, yang terletak di barat laut dan di Valencia di tengah Venezuela.
Pihak pembangkang menyeru diadakan bantahan baru, ‘perarakan senyap’ di semua kawasan negara itu esok dan sekatan jalan raya kebangsaan pada hari Isnin. – AFP