Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Ribuan peserta menunjukkan semangat perpaduan dan sokongan kepada usaha mengumpul dana bagi Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin, dengan mengambil bahagian dalam acara Steps for Solidarity : A Fundraising Walk for the Palestinian Humanitarian Fund yang berlangsung BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Inisiatif yang diusahakan oleh sekumpulan badan-badan bukan kerajaan, organisasi dan perniagaan usahawan-impak sosial serta pertubuhan belia bermatlamat untuk menyatukan masyarakat sebagai menunjukkan perpaduan dengan rakyat Palestin, menggalakkan keamanan, memupuk kesedaran dan melibatkan diri dalam aktiviti pengumpulan dana yang positif untuk semua peringkat umur.
Aktiviti itu menyaksikan penyertaan daripada ribuan peserta yang sama-sama mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki bagi keamanan termasuk ahli-ahli daripada komuniti diplomatik.
Aktiviti perpa-duan itu dimulakan dengan program awal pagi dengan solat Fardu Subuh berjemaah yang diikuti dengan kuliah subuh bertajuk, Lessons from Palestine yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.
Aktiviti utama bagi acara berkenaan adalah acara walkaton sejauh 2.5 kilometer yang bermula dan berakhir di BIBD Connects, Taman Mahkota Jubli Emas. Acara diserikan dengan aktiviti jualan oleh empat buah vendor yang mengambil bahagian iaitu Coffee Field, Star Anise, Urban Kitchen dan N8labhouse di mana hasil jualan akan disumbangkan ke tabung kemanusiaan berkenaan.
Di samping itu, enam kotak sumbangan fizikal juga disediakan semasa acara walkaton berkenaan untuk mengutip sumbangan derma bagi tabung kemanusiaan itu.
Pada acara itu, lebih $1,100 berjaya dikumpulkan melalui jualan daripada vendor-vendor berkenaan di mana hasil yang belum termasuk sumbangan daripada kotak-kotak sumbangan akan diserahkan kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) untuk pengiraan dan pengesahan.
Inisiatif itu dianjurkan bersama oleh Big BWN Project, Projek FEED, Lily Imani, Young Professionals Network, Persatuan Perubatan Brunei, Persatuan Oftalmologi Brunei, Syarikat muBN Learning & Growth, Riyya dan Majlis Belia Brunei yang disokong oleh JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pusat Promosi Kesihatan, BIBD Connects, Sukarelawan Belia, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) UBD, Projek #INFAQ1 dan Beveragesbywafi.