Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tunku Mahkota Ismail dilantik Pemangku Sultan Johor

    JOHOR BAHRU, 28 JAN – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan melantik anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor hari ini.

    Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli berkata pelantikan tersebut dibuat berdasarkan Fasal 9 (1)(d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

    “Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad, 28 Jan 2024 bersamaan 16 Rejab 1445 Hijrah di Istana Bukit Serene.

    “Pelantikan itu hendaklah berterusan untuk selama DYMM Tuanku menjalankan kerja-kerja Yang di-Pertuan Agong,” kata beliau dalam percanangan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Johor hari ini.

    Abdul Rahim berkata Sultan Johor juga berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan iaitu DYAM Beliau berkata gelaran tersebut hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk persuratan, ucapan dan doa.

    Tunku Mahkota Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984, merupakan putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.

    Sebelum pelantikan hari ini, baginda pernah diamanahkan menjadi Pemangku Raja beberapa kali dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor. – Bernama

    TMJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan membaca watikah pelantikan di Istana Bukit Serene. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda