JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim hari ini sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz dalam Bahasa Melayu pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO) kepada media, pasangan diraja itu dinikahkan oleh Mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Johor menjadi wakil rasmi Baginda di majlis tersebut.
Pada majlis pernikahan itu juga, keluarga pengantin perempuan yang diwakili Yang Di-Pertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki yang diwakili bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim.
– (Ikuti berita lanjut dalam Media Permata)