LOS ANGELES, 31 JULAI – Kesatuan yang mewakili pemain pasukan bola sepak lelaki Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menyelar ‘perakaunan palsu’ yang digunakan oleh Presiden Bolasepak AS, Carlos Cordeiro yang mendakwa bahawa persekutuan telah membayar pemain wanita lebih daripada lelaki.
Cordeiro membuat dakwaan pada Isnin dalam surat terbuka kepada anggota persekutuan, dengan pengantaraan yang menuduh persekutuan ‘menghalalkan diskriminasi jantina’ termasuk pampasan tidak adil jika dibandingkan dengan pemain lelaki pasukan kebangsaan.
“Ini lebih kurang sama dari sebuah persekutuan yang sentiasa bersengketa tetapi memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan tanpa ada idea bagaimana menggunakan wang bagi mengembangkan sukan ini,” kata kenyataan kesatuan pemain lelaki itu.
“Para pemain pasukan kebangsaan wanita berhak mendapat bayaran yang sama dan berhak meneruskan tindakan undang-undang dari mahkamah atau Kongres,” tambah kenyataan itu lagi.
Persoalan ini menjadi isu utama ketika AS menang Piala Dunia Wanita di Perancis Julai lalu, di mana laungan gaji sama rata menghujani pasukan juara setelah menewaskan Belanda pada final.
Peguam pemain wanita memfailkan saman mahkamah pada 8 Mac yang menuntut bayaran dan syarat yang sama kepada rakan-rakan lelaki yang kurang berjaya.
Para penggubal undang-undang AS mencadangkan perundangan yang akan menghalang persekutuan membiayai Piala Dunia 2026 Lelaki yang akan dihoskan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada sehinggalah mereka membayar gaji pemain wanita kebangsaan secara adil dan saksama.
Cordeiro pada Isnin berkata bahawa pemain wanita dari tahun 2010 hingga 2018 telah menerima bayaran AS$34.1 juta daripada persekutuan dalam bentuk gaji dan bonus termasuk gaji Liga Bolasepak Kebangsaan Wanita untuk skuad kebangsaan, sementara anggota skuad lelaki hanya menerima AS$26.4 juta dalam tempoh yang sama.
Angka-angka itu tidak termasuk bonus yang diterima oleh US Soccer dari FIFA untuk Piala Dunia kerana menurut Cordeiro, persekutuan tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk kesenangan dalam jumlah itu.
Apabila bonus dimasukkan, skuad pasukan lelaki memperoleh AS$41 juta di antara 2010 dan 2018, manakala wanita menerima AS$39.7 juta. – AFP