BEIJING, 24 FEB – Seorang lelaki China diperintahkan untuk membayar bekas isterinya hampir AS$8,000 atas kerja-kerja rumah yang dilakukannya selama bertahun-tahun, satu lagi dasar penceraian yang telah mencetuskan perdebatan di China.
Di bawah kod sivil baharu negara itu, yang berkuat kuasa tahun ini, pasangan yang bercerai berhak meminta pampasan untuk kali pertama sekiranya mereka memikul lebih banyak tanggungjawab di rumah.
Bekas isteri lelaki itu, Wang memberitahu pihak mahkamah Beijing bahawa selama lima tahun bersama, dia memikul tanggungjawab menjaga anak dan menguruskan tugas rumah tangga, sementara (suaminya) Chen tidak peduli atau tidak mengambil bahagian dalam urusan rumah tangga selain pergi bekerja.”
Dia mengajukan tuntutan pampasan tambahan untuk pekerjaan rumah tangga dan tugas menjaga anak, menurut kenyataan mahkamah 4 Februari. Mahkamah memutuskan bahawa Wang memang memikul lebih banyak tanggungjawab rumah tangga dan harus menerima 50,000 yuan (AS$7,700) ditambah hak penjagaan anak tunggal dan tambahan 2,000 yuan setiap bulan. Hashtag yang kini trending ‘isteri tinggal di rumah menerima pampasan pekerjaan suri rumah 50,000 yuan’ memperoleh lebih daripada 570 juta tontonan di platform ala Twitter, Weibo hari ini. – AFP