Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuntutan 40% hasil Sabah dijangka dimuktamad September ini

    KOTA KINABALU, 14 JULAI – Keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan penyelesaian mengenai tuntutan itu, telah dikemukakan wakil kerajaan Sabah dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu hari ini.

    Fadillah yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata setiap cadangan penyelesaian dikemukakan, akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mesyuarat MTPMA63 berikutnya yang dijadual pada 12 September ini di Kuala Lumpur.

    “Di situ nanti kita akan putuskan apa penyelesaiannya sama ada interim atau bagaimana, kerana kita juga mengambil kira ada kes (mahkamah) sedang berjalan sekarang ini (berhubung tuntutan 40 peratus) yang dibawa oleh Majlis Peguam Sabah.

    “Dari segi perundangan, ada juga perkara yang mengekang untuk kita membuat penyelesaian tanpa keputusan daripada mahkamah. Tetapi apa yang kita nak cari ialah penyelesaian di luar bidang kuasa mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa itu di Menara Kinabalu, di Kota Kinabalu hari ini.

    Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. – Bernama

    Datuk Seri Fadillah Yusof membincangkan sesuatu dengan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selepas mesyuarat MA63 di Menara Kinabalu, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda