Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Tindakan seorang bekas pekerja di salah sebuah syarikat minyak dan gas tempatan untuk menyaman syarikat tersebut atas pemecatannya secara tidak adil telah gagal, dan sebaliknya terpaksa membayar $20,000 kepada bekas syarikatnya itu.
Plaintif Haji Osman bin Haji Mohammad pernah bekerja dengan defendan sebagai senior completion operations supervisor di Technical Services Well Department, syarikat berkenaan.
Tanggungjawab utama plaintif adalah untuk mengesahkan dan meluluskan kad perakam waktu yang dikemukakan oleh kontraktor luar. Setelah disahkan dan diluluskan, kad perakam waktu itu dijadikan bukti bagi tuntutan pembayaran yang dibuat kepada syarikatnya.
Pada tahun 2013, plaintif telah dipecat oleh syarikatnya atas alasan dia telah secara tidak jujur memalsukan kad perakam waktu untuk kepentingan peribadi dan tindakan itu menyalahi kontrak pekerjaannya dan melanggar tanggungjawabnya terhadap syarikatnya.
Plaintif kemudiannya memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikatnya kerana memecatnya secara tidak adil terutamanya mendakwa bahawa syarikatnya gagal mengikut prosedur kontrak yang betul untuk menamatkan pekerjaannya.
Syarikatnya juga membuat tuntutan balas terhadap plaintif untuk jumlah $20,000 sebagai sebahagian daripada wang yang telah diterima secara salah oleh plaintif akibat pemalsuan kad perakam waktu tersebut.
Dalam penghakiman yang diputuskan pada 23 Jun lalu oleh Hakim Hajah Hazarena Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah, Mahkamah Tinggi menolak sepenuhnya tuntutan plaintif dan membenarkan tuntutan balas syarikatnya.
Mahkamah akhirnya mendapati bahawa plaintif telah bertindak secara tidak jujur dengan meluluskan pemalsuan kad perakam waktu yang beliau tahu adalah palsu, gagal memastikan dokumen betul dan mendapat manfaat secara salah daripadanya.
Plaintif diwakili oleh Rozaiman Abdul Rahman dari RAR Advocates & Solicitors manakala defendan diwakili oleh On Hung Zheng dan Andrew Jonathan Wong dari CCW Partnership.