Wednesday, April 23, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuntutan Sulu: Penduduk Lahad Datu lega M’sia menang kes

    LAHAD DATU, 2 JULAI – Kemenangan bersejarah yang diperoleh Malaysia dalam kes tuntutan kumpulan Sulu baru-baru ini, memberi keyakinan kepada penduduk di sini bahawa kerajaan Persekutuan berterusan memastikan cubaan kumpulan itu untuk mengganggu gugat kedaulatan negara digagalkan.

    Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Remang di Tungku, di sini, Juliana Binjin, 49, berkata keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda yang menolak permohonan kumpulan Sulu itu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda, membuka mata dunia bahawa tuntutan berkenaan langsung tidak berasas.

    “Tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu itu memberi kekeliruan kepada masyarakat di sini dan kita harap kerajaan Malaysia teruskan usaha menangani isu kumpulan Sulu ini,” katanya kepada Bernama.

    Sebelum ini, penduduk Lahad Datu terkesan dan trauma dengan tragedi pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu, membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda