SAN FRANCISCO, 25 SEPT – Penduduk sebuah bandar di Kawasan Teluk San Francisco kini berwaspada terhadap seekor tupai agresif yang telah menyebabkan dua orang dikejarkan ke jabatan kecemasan untuk rawatan perubatan.
Joan Heblack memberitahu stesen ABC KGO-TV, beliau sedang berjalan di kejiranan Lucas Valley, San Rafael apabila seekor tupai muncul dan menyerang kakinya, mencakar dan menggigit.
“Ia mencengkam kaki saya. Ekornya terangkat-angkat ke atas,” kata Heblack.
Isabel Campoy juga berkata dia diserang ketika berjalan di kawasan yang sama dan tupai itu melompat dari tanah ke wajahnya dan akhirnya mendarat di lengannya, menyebabkan luka berdarah, katanya.
Kedua-dua wanita itu pergi ke jabatan kecemasan, lapor stesen TV itu dalam berita hari Isnin.
Di samping itu, notis turut diedarkan, bagi memberi amaran kepada penduduk, tupai itu bukan sekadar gurauan dan lebih daripada lima orang telah diserang oleh ‘tupai yang sangat agresif’ yang ‘muncul secara tiba-tiba’.
Lisa Bloch dari Marin Humane berkata, mereka tidak menerima sebarang laporan serangan tupai sejak pertengahan September dan jika tupai itu muncul semula, pertubuhan bukan keuntungan itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk menyingkirkan haiwan tersebut, katanya.
“Kami sudah pernah menyaksikan tingkah laku seperti ini,” katanya. “Selalunya ia berpunca daripada tindakan orang memberi makan kepada haiwan berkenaan.”
Namun, tupai bukan spesies haiwan yang boleh membawa rabies dan menasihatkan orang ramai agar tidak memberi makan kepada hidupan liar. – AP


