Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tupai King: Durian bangsawan kelahiran Pulau Pinang

    GEORGE TOWN, 7 MEI – Durian jenis Tupai King yang ‘dilahirkan’ di Pulau Pinang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat raja buah itu selepas ia digelar durian bangsawan kerana kualiti premium, rasa luar biasa dan aroma yang unik.

    Malah, harganya juga meningkat sehingga RM130 sekilogram, sekali gus menjadikannya durian tempatan termahal ketika ini mengatasi jenis durian lain yang turut terkenal antaranya Musang King dan Duri Hitam atau ‘Black Thorn’.

    Pengusaha kebun durian Eric Yeap berkata durian Tupai King dengan kulit berwarna hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

    “Durian Tupai King telah ada sejak lima atau enam tahun lepas, namun mula dikenali dan dicari peminat raja buah sejak dua tahun kebelakangan ini kerana isinya berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana.

    “Bukan sahaja menarik minat penggemar tempatan tetapi pembeli dari luar negara seperti Singapura dan China.

    Apabila mereka tahu musim durian sudah bermula, ada yang menghubungi saya bertanya mengenai durian Tupai King,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau yang mempunyai tujuh kebun durian berkeluasan 132 ekar dengan 200 pokok durian di sekitar lereng bukit dari Teluk Bahang ke Balik Pulau berkata selain dijual untuk pasaran tempatan, durian Tupai King juga dieksport ke luar negara terutama Hong Kong kerana permintaan tinggi serta harga berlipat kali ganda.

    Beliau berkata pengeluaran durian Tupai King dijangka berskala lebih besar dan komersial tiga hingga empat tahun lagi berikutan ramai pekebun durian dari seluruh negara telah mula menanam anak pokok durian berkenaan.

    Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan harga, namun masih berpatutan dengan kualiti durian yang ditawarkan kerana memang diketahui durian dari Pulau Pinang, terutama kawasan Balik Pulau antara yang terbaik berikutan rasa, tekstur dan aroma yang unik. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda