Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turbin terapung bakal beroperasi di Jepun

    GOTO – Berhampiran pelabuhan perikanan kecil di barat daya Jepun, turbin putih terapung berskala komersial pertama negara itu memantulkan cahaya di luar pesisir, beberapa bulan sebelum projek utama dalam strategi tenaga hijau Tokyo bermula.

    Masih banyak bergantung pada bahan api fosil yang diimport, Jepun telah mengisytiharkan tenaga angin luar pesisir sebagai kelebihan utama dalam usahanya untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber kuasa utamanya menjelang 2040 dan mencapai karbon neutral 10 tahun kemudian.

    Ia berlaku meskipun kos projek meningkat dan kebimbangan mengenai infrastruktur yang tidak mencukupi untuk menghasilkan turbin yang banyak.

    Turbin terapung amat sesuai untuk Jepun kerana perairan pantainya yang dalam menyukarkan pemasangannya di dasar laut, sementara negara itu juga terdedah kepada bencana alam.

    “Struktur terapung agak stabil walaupun berlaku gempa bumi atau taufan,” kata ketua tenaga boleh diperbaharui marin untuk syarikat pembinaan Toda, Kei Ushigami selaku pemain utama dalam projek itu.

    Gambar bertarikh 5 Ogos menunjukkan turbin angin di luar pesisir Bandar Goto, wilayah Nagasaki. – AFP
    Gambar bertarikh 5 Ogos menunjukkan pelabuhan perikanan di Goto, wilayah Nagasaki. – AFP
    Gambar bertarikh 6 Ogos menunjukkan bahagian turbin angin di luar pesisir Bandar Goto, wilayah Nagasaki. – AFP
    6 Ogos menunjukkan Kei Ushigami menjelaskan operasi kawasan turbin angin semasa temu bual dengan AFP di pejabat syarikat di Goto, wilayah Nagasaki. – AFP

    Lapan turbin yang terletak lima kilometer di luar pantai Kepulauan Goto di perairan sedalam 140 meter akan mula beroperasi secara rasmi pada Januari nanti.

    Diharapkan ia akan membantu kepulauan itu mencapai sasaran baharu yang ditetapkan pada tahun ini yang sepatutnya menyaksikan sumbangan angin kepada gabungan tenaga melonjak kepada kira-kira 4 dan 8 peratus menjelang 2040, meningkat daripada sekitar 1 peratus hari ini.

    Namun ia merupakan perjalanan yang panjang dan sukar bagi Jepun, pengeluar karbon dioksida kelima terbesar di dunia untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil.

    Pada tahun 2024, 65 peratus daripada keperluan elektriknya dipenuhi oleh loji terma berkuasa arang batu dan hidrokarbon, manakala lebih seperempat datang daripada tenaga boleh diperbaharui, menurut Institut Dasar Tenaga Mampan Jepun.

    TUGAS YANG BESAR

    Kos juga meningkat mendadak dan pada akhir Ogos, konglomerat Jepun, Mitsubishi, menarik diri daripada tiga projek kuasa angin utama yang dianggap tidak lagi menguntungkan.

    Pengendali projek lain telah meminta sokongan yang lebih baik daripada kerajaan.

    “Adalah penting bagi kerajaan untuk menangani kekurangan dalam sistem pembidaan semasa, yang gagal menjangka inflasi global yang pesat selepas bidaan diberikan,” kata Yoko Mulholland dari badan pemikir E3G.

    “Mengemaskini proses kawal selia dan pelonggaran sekatan pembinaan akan memendekkan masa utama dan juga mengurangkan perbelanjaan modal”, katanya kepada AFP.

    Hidenori Yonekura, dari Pertubuhan Pembangunan Tenaga dan Teknologi Perindustrian Baharu, melihat tenaga angin terapung yang baru muncul sebagai jalan untuk mengurangkan kos, dengan memasang lebih banyak turbin di Zon Ekonomi Eksklusif Jepun yang besar seluas 4.5 juta kilometer persegi.

    Walau bagaimanapun, tugas itu kelihatan sangat sukar, untuk memenuhi sasaran angin 2040, kira-kira 200 turbin 15 megawatt setahun perlu ditingkatkan.

    “Tetapi infrastruktur masih belum tersedia”, kata Yonekura. “Jepun kekurangan pengeluar turbin dan tapak pengeluaran yang besar,” tambahnya.

    MATA PENCARIAN NELAYAN

    Syarikat pembinaan juga berdepan cabaran teknikal dengan sistem yang masih baharu ini, kerosakan yang ditemui dalam struktur turbin angin terapung di Goto bermakna Toda terpaksa membuat penggantian, sekali gus melambatkan projek itu selama dua tahun.

    Kewujudan bersama dengan industri tempatan, terutamanya perikanan, juga penting.

    Toda berkata ia telah menjalankan penilaian alam sekitar dan mendapati projek perintis tiada kesan negatif terhadap ikan.

    Nelayan juga menerima sebahagian hasil daripada jualan elektrik dan sebahagian daripada cukai harta yang dijana oleh projek itu, manakala sesetengahnya telah diupah untuk memantau tapak pembinaan dengan kapal mereka.

    Tetapi menurut ketua koperasi perikanan Fukue di Goto, Takuya Eashiro, projek tenaga angin itu dilaksanakan oleh pihak berkuasa tanpa rundingan dan dianggap telah dimuktamadkan.

    “Walau bagaimanapun, nelayan memahami kepentingan projek sedemikian untuk Jepun,” katanya.

    Persekutuan Kebangsaan Persatuan Koperasi Perikanan membantah kerajaan selepas Mitsubishi menarik diri, mengingatkan mereka bahawa nelayan telah bekerjasama dengan projek-projek itu, dengan harapan mendapat impak ekonomi yang positif.

    “Memandangkan aktiviti memancing menjadi kurang berdaya maju disebabkan oleh peningkatan suhu laut, sesetengah orang berharap anak atau cucu mereka akan mendapat pekerjaan dalam penyelenggaraan turbin angin,” kata Eashiro. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda