Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki beli sistem pertahanan Rusia

    ANKARA, 31 Dis – Turki telah memuktamadkan perjanjiannya dengan Moscow bagi pembelian sistem peluru berpandu udara S-400 Rusia, menurut pegawai pertahanan Turki kelmarin, meskipun terdapat kebimbangan oleh beberapa sekutu NATO.

    Perjanjian itu, menjadikan Turki sebagai anggota pertahanan tentera pertama yang memiliki sistem pertahanan udara paling maju dari Rusia, muncul ketika pengukuhan hubungan di antara Turki dan Rusia, dan hubungan buruk di antara Ankara dengan AS dan negara-negara barat lain.

    Setiausaha Rendah Industri Pertahanan Turki berkata kelmarin, Turki akan membeli sekurang-kurangnya satu bateri peluru berpandu permukaan ke udara S-400 dengan pilihan untuk mendapatkan bateri kedua. Penghantaran bateri pertama dijadualkan pada suku pertama 2020, menurut kenyataan.

    Kedua-dua negara telah memuktamadkan perjanjian kewangan kelmarin bagi projek itu, yang mana kosnya akan dibiayai melalui pinjaman Rusia, menurut kenyataan badan Industri Pertahanan tanpa mendedahkan butiran perjanjian itu.

    Gambar pada 7 Mei 2017 menunjukkan sistem peluru berpandu udara S-400 Rusia dipamerkan semasa latihan perbarisan tentera ketika Hari Kemenangan di Dataran Merah, Moscow, Rusia. – AP

    Media Turki melaporkan kelmarin bahawa Turki akan membeli empat unit S-400 yang bernilai AS$2.5 bilion. Sergei Chemezov, ketua bagi Rostech yang dikendalikan Rusia, turut memberitahu akhbar harian Kommersant semasa sesi temu bual yang disiarkan Rabu, kontrak itu bernilai AS$2.5 bilion dan pinjaman Rusia akan menyumbang kepada 55 peratus daripada jumlah itu.

    Menurutnya lagi, Turki akan membeli empat bateri dan penghantaran pertama akan bermula pada Mac 2020.

    “Turki adalah negara NATO pertama untuk membeli sistem S-400 kami yang paling maju,” tambahnya.

    Alasan bercanggah ke atas jumlah bateri Rusia yang akan dibekalkan kepada Turki adalah tidak jelas. Badan Industri Pertahanan tidak akan mendedahkan kos bagi projek berkenaan atau menyatakan butiran lain, dengan memetik ‘prinsip kerahsiaan’ yang dipersetujui oleh kedua-dua negara. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda