Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki gelar Assad ‘pengganas’

    TUNIS, Tunisia, 28 Dis – Usaha perdamaian Syria tidak boleh melibatkan Presiden Bashar Assad, menurut pemimpin Turki semalam, menggelarnya seorang ‘pengganas’ semasa Presiden Recep Tayyip Erdogan berucap pada lawatan terakhir ke Tunisia selama empat hari ke Afrika yang memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi.

    Semasa sidang akhbar bersama Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi, Erdogan menggelar Assad sebagai seorang “pengganas yang terlibat dalam keganasan negara” dan tidak boleh menjadi sebahagian daripada masa depan pasca konflik Syria.

    “Bagaimanakah kami boleh menghadapi masa depan dengan seorang pemimpin yang telah membunuh hampir satu juta rakyatnya?” kata pemimpin Turki, di mana negaranya telah mengalami kebanjiran pelarian dari negara jiran Syria semasa peperangan.

    Beralih kepada isu yang lebih sensitif di Timur Tengah, Erdogan dan Essebsi berkata negara mereka tidak akan menerima perubahan status sejarah Baitulmaqdis selepas pengiktirafan Presiden Donald Trump terhadap bandar itu sebagai ibu negara Israel.

    “Baitulmaqdis adalah garis merah kami. Apa-apa langkah menentang status bersejarah dan kesucian Baitulmaqdis tidak dapat diterima,” kata Erdogan, sambil menyatakan bahawa negaranya akan berusaha ke arah pengiktirafan antarabangsa terhadap negara Palestin dan mencari sokongan dari Kesatuan Eropah.

    Pemimpin Turki juga berjanji akan menyokong Tunisia mengatasi kesulitan ekonomi dan memerangi fahaman pelampau.

    Erdogan, yang juga menghadiri forum ekonomi Turki dan Tunisia, diiringi oleh perwakilan yang terdiri daripada sembilan menteri dan 200 ahli perniagaan.

    Erdogan sebelum ini melawat Sudan dan Chad, di mana beliau menandatangani perjanjian ketenteraan dan ekonomi. Sementara itu, Perdana Menteri Turki Binali Yildirim mengadakan lawatan dua hari ke Arab Saudi, di mana beliau telah bertemu dengan Raja Salman semalam. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda