Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki, Jerman terus banteras keganasan

    ANKARA, 3 Feb – Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk meneruskan kerjasama dalam memerangi keganasan ketika lawatan Merkel ke Ankara.

    “Keganasan antarabangsa bukanlah satu isu yang boleh ditangani oleh sebuah negara sahaja. Ia perlu kerjasama antarabangsa,” ujar Erdogan dalam satu sidang akhbar bersama Merkel di Ankara.

    “Sebagai dua rakan NATO, saya percaya kerjasama kami dengan Jerman, yang juga sebahagian daripada pakatan anti IS, perlu diteruskan seperti mana yang kami lakukan buat Ukraine,” tegasnya.

    Kedua-dua Merkel dan Erdogan menekankan keperluan kerjasama terhadap kumpulan-kumpulan pengganas yang telah menimbulkan ancaman kepada kedua-dua negara, terutamanya keperluan penyelesaian politik bagi krisis Syria.

    Merkel menyatakan bahawa kedua-dua negara perlu bekerjasama dengan lebih rapat dalam memerangi tiap- tiap jenis keganasan.

    Angela Merkel ketika mengadakan perjumpaan bersama Recepp Tayyip Erdogan di Ankara, Turki. - AP
    Angela Merkel ketika mengadakan perjumpaan bersama Recepp Tayyip Erdogan di Ankara, Turki. – AP

    Erdogan menyelar kegunaan terma “keganasan Islam,” mengatakan ia “amat mengecewakan golongan Muslim. Terma sebegitu tidak boleh digunakan; ini adalah tidak betul.”

    Sementara itu, Erdogan berkata satu pungutan suara akan diadakan pada pertengahan April dan menafikan tuntutan-tuntutan parti pembangkang sistem presiden akan melanggar pemisahan kuasa Turki ketika ini.

    Merkel berkata segala-galanya perlu dilakukan untuk memastikan pemisahan kuasa itu dan kepelbagaian masyarakat.

    Canselor Jerman juga berkata Turki telah meletakkan usaha-usaha bagi penyepaduan para pelarian, menambah “pelarian adalah isu penting bagi kedua-dua Turki dan Jerman.”

    Merkel telah mengunjungi Turki lima kali bagi tempoh setahun setengah. Kedua-dua sekutu bersejarah itu mempunyai hubungan dua hala yang rapat, terutamanya dalam hubungan ekonomi dan perdagangan. Baru-baru ini, Ankara mengkritik kurangnya sokongan dari Jerman dalam usaha Turki memerangi IS.

    Merkel juga mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Turki, Binali Yildrim bagi membincangkan ketegangan diplomatik baru-baru ini di antara Turki dan Jerman dan juga perwakilan-perwakilan parti pembangkang CHP dan HDP. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda