ISTANBUL, 15 APRIL – Menteri Dalam Negeri Turkiye mengumumkan hari ini, bahawa pihak berkuasa telah melancarkan operasi besar-besaran membanteras jenayah terancang merentasi lima negara, yang membawa kepada lebih 200 tangkapan, kebanyakannya di Turki.
“Sehingga pagi ini, seramai 234 ahli kanan kumpulan jenayah terancang telah ditahan, termasuk sembilan orang di luar negara dan 225 orang di dalam negara,” kata Ali Yerlikaya dalam satu sidang media.
Beliau memaklumkan bahawa serbuan serentak telah dijalankan di Belanda, Jerman, Sepanyol, Belgium dan Turkiye. Pihak berkuasa turut berkongsi dokumen dengan beberapa negara lain, termasuk Perancis dan Britain, sebagai persediaan sebelum operasi tersebut dijalankan.
Sebanyak 21.2 tan dadah telah dirampas dalam operasi ini, menurut Yerlikaya.
“Kita berdepan dengan satu rangkaian jenayah besar di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah bahawa kumpulan ini disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah, termasuk pengedaran dadah dan pengubahan wang haram. – AFP
