Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki longgarkan sekatan mulai 1 Julai

    ANKARA, 28 JUN – Turki semalam mengumumkan sekatan COVID-19 akan dilonggarkan mulai 1 Julai sebagai sebahagian usaha untuk mengembalikan kehidupan normal secara beransur-ansur.

    Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, perintah berkurung waktu malam dibatalkan sepenuhnya dan larangan perjalanan antara bandar ditamatkan mulai Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).

    Semua tempat kerja dan pawagam dibuka semula, manakala kafe serta restoran dibenarkan beroperasi tanpa had pengunjung.

    Sekatan di kemudahan penginapan juga akan ditamatkan dengan pematuhan kepada penjagaan kebersihan, pemakaian penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial.

    Selain membenarkan upacara perkahwinan, turut diberi kelonggaran ialah acara seperti konsert, festival dan kem remaja dengan syarat mematuhi peraturan ditetapkan. Taman, kawasan berkelah dan perkhemahan akan dibuka semula kepada orang ramai.

    Kuarantin wajib 14 hari bagi pelancong dari Bangladesh, Brazil, Afrika Selatan, India, Nepal dan Sri Lanka akan ditamatkan.

    Sementara tempoh kuarantin wajib bagi pelancong dari Afghanistan dan Pakistan juga dikurangkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sebelum ini. – Bernama

    Penumpang dan kakitangan stesen kereta api mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin di pusat vaksinasi yang didirikan di Stesen Kereta Api Ankara kelmarin. Turki mengumumkan sekatan COVID-19 akan dilonggarkan mulai 1 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda