Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki nafi bina pangkalan di Suakin

    KHARTOUM, 21 Feb – Turki semalam menafikan bahawa ia merancang untuk membina sebuah pangkalan tentera di Pulau Suakin, Laut Merah di Sudan, yang telah dipajak kepada Turki bagi tujuan pemulihan dan pembangunan, lapor agensi berita China Xinhua.

    Timbalan Perdana Menteri Turki, Hakan Cavusoglu, berkata pihak yang membangkitkan isu itu sebenarnya berhasrat merosakkan hubungan baik antara Sudan dan Turki.

    “Pulau Suakin, dengan sempadan lokasi geografinya yang asli, adalah suatu kawasan terhad yang tidak membenarkan sebuah pangkalan tentera dibina,” kata Cavusoglu semasa lawatan dua hari ke Sudan, yang menyaksikan beliau mengadakan rundingan dengan Naib Presiden Pertama Sudan, Bakri Hassan Saleh, dan Menteri Luar, Ibrahim Ghandour.

    Cavusoglu dijangka melawat Suakin pada Rabu dan mengadakan mesyuarat dengan para pegawai Sudan mengenai pulau Laut Merah.

    Menyifatkan Suakin sebagai satu monumen kuno dan penting, beliau berkata projek Turki yang membabitkan pembangunan, pemulihan arkeologi dan kebangkitan semula budaya bakal menjadikan pulau itu sebagai ‘sebuah pusat tarikan seperti sebelum ini’.

    Berbekalkan tapak sejarah yang wujud sejak zaman Ottoman, Suakin memiliki sebuah pelabuhan untuk eksport komoditi dan pelancong ke Arab Saudi.

    Pada Disember 2017, Sudan bersetuju memajak Suakin kepada Turki bagi tujuan pemulihan untuk suatu tempoh yang belum ditentukan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda