ANKARA, 31 Julai – Turki semalam menolak dakwaan yang menuduh negara itu cuba menculik seorang guru dari Mongolia, yang dikaitkan dengan ketua pergerakan penjahat, yang dituduh oleh Ankara dalam percubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016.
Pihak berkuasa Mongolia pada Jumaat telah menahan sebuah jet tentera udara Turki yang disyaki selepas para saksi berkata para penyerang menculik seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan kumpulan yang diketuai oleh ulama Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Saya tidak tahu,” kata Veysel Ackay, apabila ditanya mengenai dalang di sebalik cubaan penculikan itu.
Lelaki berusia 50 tahun itu merupakan seorang pengarah di sebuah sekolah di Mongolia, telah dituduh mempunyai kaitan bersama Gulen, meskipun guru-guru di sana menafikan kaitannya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh AFP.
“Kami sangat kurang selesa berhubung peristiwa yang berlaku pada Jumaat lalu, digambarkan sebagai operasi penculikan,” menurut kenyataan jurucakap kementerian luar Turki, Hami Aksoy.
“Kesemua tuduhan itu adalah palsu dan kami menafikannya.”
Kira-kira lima orang lelaki menangkap Akcay dari luar rumahnya di ibu negara Mongolia Ulan Bator pada pagi Jumaat dan menghumbannya ke dalam sebuah bas mini, menurut para rakan dan saksi.
Timbalan menteri luar Mongolia Battsetseg Batmunkh telah memberi amaran kepada para pegawai konsulat Turki pada Jumaat bahawa mana-mana percubaan untuk menculik seseorang dari wilayah Mongolia membawa kepada ‘satu pencabulan serius terhadap kedaulatan dan kebebasan Mongolia.’ – AFP