ISTANBUL, 29 JULAI – Parlimen Turki hari ini meluluskan satu rang undang-undang kontroversi yang memberikan kerajaan kawalan yang lebih ke atas media sosial dan dikritik oleh penyokong hak asasi sebagai percubaan untuk menambah penapisan kandungan dalam talian.
Di bawah undang-undang baharu itu, syarikat media sosial seperti Facebook dan Twitter perlu mempunyai wakil tempatan di Turki dan mematuhi arahan mahkamah mengenai pembuangan isi kandungan tertentu atau berdepan denda berat.
Undang-undang itu menyasarkan rangkaian sosial dengan lebih satu juta pelawat unik setiap hari dan berkata server dengan data pengguna Turki mesti disimpan dalam negara.
Jika syarikat enggan patuh, mereka akan berdepan denda dan sekatan jalur lebar menyebabkan platform tidak dapat digunakan.
Rang undang-undang itu diusulkan oleh parti pemerintah AKP dan rakan nasionalis MHP, yang mempunyai majoriti dalam parlimen, dan diluluskan selepas perdebatan bermula semalam hingga hari ini.
Selepas perdebatan sepanjang malam, parlimen akan berehat sehingga Oktober. Kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang bimbang berhubung apa yang disifatkan sebagai hakisan kebebasan bersuara di Turki, dengan ribuan orang tertakluk kepada prosiding jenayah kerana ‘menghina’ Presiden Recep Tayyip Erdogan di media sosial. – AFP
