ANKARA, 2 Nov – Polis Turki menahan 283 orang suspek disyaki anggota militan Daesh dalam tempoh 11 hari, lapor agensi berita China Xinhua, memetik kenyataan dikeluarkan oleh Direktorat Keselamatan Awam pada Khamis.
Daripada jumlah itu, 187 terdiri warga asing manakala 96 orang lagi rakyat Turki.
Dalam operasi anti-daesh yang dijalankan bermula 22 Oktober hingga 1 November di 25 buah wilayah, pihak polis turut merampas 66 biji bahan letupan dan pelbagai jenis senjata.
Pada hujung minggu lalu, polis berjaya menggagalkan rancangan militan Daesh untuk melancarkan serangan bom di pusat membeli-belah di Istanbul dan dalangnya turut berjaya ditahan.
Sejak 2015, beberapa siri serangan maut berlaku di Turki, mengorbankan lebih 300 orang dan pihak berkuasa menuduh militan Daesh dalang di sebalik serangan.
Menurut Kementerian Keadilan Turki, sekurang-kurangnya 780 orang termasuk 350 orang warga asing, masih ditahan dan ada antara tahanan telah disabitkan bersalah kerana mempunyai kaitan dengan Daesh. – Bernama