Turki terima kunjungan putera mahkota

ANKARA, 24 NOV – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengalu-alukan ketibaan putera mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan hari ini, ketika Turki dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencari jalan untuk memperbaiki hubungan dan meningkatkan kerjasama ekonomi.

Lawatan putera mahkota itu, dianggap sebagai pemimpin de facto dan penguasa di sebalik dasar luar UAE, adalah yang pertama ke Turki sejak 2012, dan lawatan peringkat tertinggi oleh pegawai UAE sejak hubungan renggang mengenai ketegangan serantau. Penasihat keselamatan kebangsaan UAE, Sheikh Tahnoun bin Zayed Al Nahyan, mengunjungi Turki pada Ogos bagi membuat persediaan untuk lawatan putera mahkota.

Ankara dan Abu Dhabi dalam beberapa tahun kebelakangan tidak sehaluan dalam konflik di Libya dan ketegangan di teluk dan timur Mediterranean.

Dalam kenyataan dari pejabat presiden Turki berkata kedua-dua pemimpin akan membincangkan hubungan dua hala serta langkah untuk meluaskan kerjasama.

Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.

Kunjungan putera mahkota ke Turki dilihat sebagai usaha meluas oleh UAE untuk meningkatkan semula dasar luar berikutan usaha gagal untuk memulaukan Qatar pada 2017. Turki, sekutu Qatar, segera menyokong Doha di tengah-tengah sekatan oleh UAE dan tiga negara Arab lainnya. Turki sejak itu mengukuhkan hubungan ketenteraan bersama Qatar.

Erdogan berkata selepas pertemuan bersama Sheikh Tahnoun pada Ogos bahawa dia menjangkakan peningkatan pelaburan dari UAE di Turki. Lawatan Sheikh Tahnoun disusuli dengan panggilan telefon antara Erdogan dan putera mahkota. – AP

Recep Tayyip Erdogan semasa mengalu-alukan ketibaan Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan di Kompleks Presiden di Ankara, kelmarin. – AFP