ANKARA, 16 JAN – Turkish Airlines akan menyambung semula penerbangannya ke Damsyik, Syria, minggu depan selepas dihentikan lebih daripada sedekad, kata pegawai kelmarin selepas lawatan delegasi pemerintah baharu Syria yang disokong oleh Turkiye.
CEO syarikat penerbangan kebangsaan Turkiye, Bilal Eksi, berkata akan ada tiga penerbangan seminggu bermula 23 Januari. “Kami kembali ke Damsyik,” kata Eksi dalam satu hantaran di platform media sosial X.
Pengumuman beliau susulan lawatan oleh Menteri Luar Syria yang baharu, Asaad al-Shibani, yang mengadakan perbincangan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan pegawai-pegawai utama yang lain di ibu negara Turkiye, Ankara.
Al-Shibani adalah sebahagian daripada pihak berkuasa de facto baharu Syria di bawah Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah kumpulan Islamis yang menjadi sebahagian daripada pemberontakan yang menggulingkan Presiden Bashar Assad pada bulan Disember dan menamatkan pemerintahan keluarga Assad yang telah berlangsung selama beberapa dekad. Dari 2011 hingga kejatuhan Assad, kebangkitan dan perang saudara Syria telah mengorbankan kira-kira 500,000 orang.
Pemerintah baharu di Syria bersemangat untuk menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan serantau dan global.
Bercakap bersama al-Shibani pada sidang media, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, merujuk kepada rancangan untuk membuka semula Konsulat Turkiye di bandar Aleppo, Syria. Turkiye sudah mengumumkan pada bulan lalu bahawa ia akan membuka semula kedutaannya di Damsyik selepas penutupan selama 12 tahun.
Fidan mendesak agar sekatan antarabangsa ke atas Syria ditarik balik untuk menyokong perkhidmatan awam asas dan memudahkan proses pembinaan semula negara yang hancur akibat perang.
“Jika sekatan-sekatan itu ditarik balik, proses normalisasi negara akan dipercepatkan, dan syarat-syarat akan diwujudkan yang membolehkan jutaan rakyat Syria kembali ke negara mereka,” kata Fidan. – AP