PHNOM PENH, 18 NOV – Turkish Airlines akan mengendalikan penerbangan terus pertama dari Istanbul ke Kemboja bulan depan, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet kelmarin.
“Penerbangan terus baharu oleh Turkish Airlines, yang menghubungkan Istanbul di Republik Turkiye dan Lapangan Terbang Antarabangsa Techo di Kemboja, akan dilancarkan pada 11 Disember 2025,” katanya di media sosial.
Beliau berkata pencapaian baharu ini adalah hasil kerjasama rapat antara kerajaan kedua-dua negara.
Setiausaha Negara dan Jurucakap Sekretariat Negara bagi Penerbangan Awam (SSCA) Kemboja, Sinn Chanserey Vutha berkata penerbangan terus itu akan menyediakan hubungan mudah antara Kemboja dan Eropah melalui Istanbul, yang merupakan pintu masuk yang strategik ke negara Eropah.
“Kami yakin penerbangan terus ini akan membantu membawa lebih ramai penumpang antarabangsa dan pelancong dari Turkiye dan Eropah ke Kemboja,” katanya kepada pemberita. – Bernama

