Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turkiye beli 20 jet pejuang bernilai AS$11 bilion

    ANKARA, 28 OKT – Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer menandatangani perjanjian penjualan jet pejuang Eurofighter kepada anggota NATO, Turkiye, dalam tempoh 10 tahun pada harga bernilai AS$11 bilion selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, kelmarin.

    Starmer menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘amat penting’ kerana melibatkan pesanan bernilai £8 bilion (AS$10.7 bilion), yang akan mewujudkan peluang pekerjaan selama 10 tahun dalam pembuatan jet Eurofighter Typhoon.

    Kementerian Pertahanan Britain dalam kenyataan berasingan menyifatkan pesanan yang melibatkan 20 jet Eurofighter Typhoon itu sebagai ‘perjanjian jet pejuang terbesar dalam satu generasi’, sambil menegaskan ia akan memperkukuh keupayaan tempur Turkiye serta menguatkan kedudukan NATO di rantau strategik tersebut.

    Starmer menambah perjanjian itu bukan sahaja akan meningkatkan keselamatan seluruh NATO, malah menjamin 20,000 peluang pekerjaan di UK, termasuk pilihan untuk menambah pesawat Eurofighter pada masa akan datang.

    Erdogan pula menyambut baik perjanjian tersebut yang disifatkannya sebagai ‘simbol baharu hubungan strategik’ dengan Britain, sambil mengucapkan terima kasih kepada tiga lagi negara dalam konsortium pengeluar jet itu iaitu Jerman, Itali dan Sepanyol.

    Menteri Pertahanan Britain, John Healey, yang turut mengiringi Starmer ke Ankara, berkata perjanjian itu ‘lebih daripada sekadar penjualan pesawat’ kerana ia menandakan permulaan kepada kerjasama pertahanan dan industri yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.

    “Turkiye merupakan sekutu penting dalam NATO dan pintu gerbang utama ke Laut Hitam,” katanya.

    Kedua-dua pihak enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut, yang menjadi tajuk utama di Turkiye, kelmarin. – AFP

    Keir Starmer (kiri) dan Recep Tayyip Erdogan selepas menandatangani perjanjian di Istana Presiden di Ankara pada 27 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda