ISTANBUL, 28 JULAI – Anggota bomba Turkiye terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan hari ini, ketika negara itu sedang bergelut dengan gelombang haba musim panas yang melanda hampir keseluruhan wilayahnya.
Sepanjang minggu lalu, kebakaran hutan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa, 19 kampung dipindahkan serta lebih 3,500 orang kehilangan tempat tinggal akibat pemindahan kecemasan.
Gelombang haba terkini di Turkiye memuncak minggu lalu apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan, malah mencapai rekod tertinggi iaitu 50.5 darjah Celsius pada Jumaat di Silopi, tenggara Turkiye berhampiran sempadan Iraq dan Syria.
Pasukan bomba kini memadam kebakaran di beberapa kawasan utama, termasuk bandar Bursa di barat laut, wilayah Karabuk di utara dan Kahramanmaras di selatan.
“Lima kebakaran berjaya dikawal di empat wilayah,” kata Menteri Pertanian dan Perhutanan, Ibrahim Yumakli.
Namun begitu, beliau menjelaskan usaha memadam api terjejas dihambat angin kencang yang menyemarakkan api.
“Disebabkan saiz dan intensiti kebakaran, keupayaan negara untuk bertindak balas dengan pantas terhadap bencana sebegini adalah terhad,” katanya.
“Jika ada angin, pesawat tidak dapat digunakan dan mengambil masa berjam-jam, malah kadang kala berhari-hari untuk mengawal kebakaran,” tambahnya.
Di Safranbolu, 19 kampung terpaksa dikosongkan, manakala di sekitar Bursa pula lebih 3,500 penduduk dipindahkan bagi keselamatan. – AFP
