ISTANBUL, 27 JULAI – Turkiye mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah iaitu 50.5 darjah Celsius di daerah Silopi, wilayah Sirnak pada 25 Julai lalu, menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar, Pembandaran dan Perubahan Iklim kelmarin.
Data daripada Perkhidmatan Meteorologi Turkiye menunjukkan bahawa sebanyak 132 stesen cuaca di seluruh negara turut mencatatkan suhu tertinggi bagi Julai pada hari yang sama, lapor Anadolu Ajansi.
Rekod kebangsaan sebelum ini dicatatkan pada 15 Ogos 2023 di Sarıcakaya, wilayah Eskisehir, iaitu 49.5 darjah Celsius.
Beberapa daerah lain di tenggara Turkiye turut merekodkan suhu melebihi 49 darjah Celsius, antaranya 49.6 darjah Celsius di Kiziltepe (Mardin), 49.4 darjah Celsius di Cizre (Sirnak), 49.3 darjah Celsius di Nusaybin (Mardin), 49.1 darjah Celsius di Kurtalan (Siirt) dan 49 darjah Celsius di Ceylanpinar (Sanliurfa).
Pihak berkuasa memberi amaran kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit kronik, warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak agar mengelakkan aktiviti luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang susulan risiko kesihatan. – Bernama/Anadolu
