ANKARA, 11 JUN – Ankara telah bersetuju dengan perjanjian untuk mengeksport 48 pesawat pejuang buatan Turkiye ke Indonesia, Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan hari ini.
Sektor pertahanan Turkiye, termasuk dron Bayraktar yang terkenal, menyumbang sebahagian besar hasil eksport negara itu.
“Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani dengan negara kami yang mesra dan bersaudara, Indonesia, 48 Kaan (pesawat pejuang) akan dikeluarkan di Turkiye dan dieksport ke Indonesia,” tulis Erdogan di X.
Kaan generasi kelima dihasilkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) milik kerajaan itu.
“Keupayaan tempatan Indonesia juga akan digunakan dalam pengeluaran Kaan,” tambah ketua negara Turkiye itu tanpa memberikan butiran lanjut mengenai pengaturan pengeluaran.
Pada 2024, hasil eksport industri pertahanan Turkiye mencecah AS$7.1 bilion, peningkatan sebanyak AS$1.6 bilion berbanding 2023. – AFP
