ISTANBUL, 6 JULAI — Turkiye kelmarin telah menghantar dua buah pesawat pemadam kebakaran bagi membantu memadamkan kebakaran hutan di Syria yang berjiran, ketika pasukan pemadam kebakaran Turkiye sendiri sedang berusaha memadamkan kebakaran di sempadan mereka dan seorang dilaporkan maut di barat negara itu.
Sebanyak sebelas buah trak bomba dan kenderaan sokongan air turut dihantar ke wilayah barat laut Latakia di Syria, menurut Menteri Pengurusan Kecemasan dan Bencana Syria, Raed Al Saleh.
Beliau turut memuat naik kenyataan di platform X, mengatakan “kebakaran hutan mengejut di Turkiye” telah menyebabkan penghantaran bantuan lewat hampir sehari dan negara itu telah bergelut memadam kebakaran hutan sejak 26 Jun lalu.
Menteri Perhutanan, Ibrahim Yumakli, berkata kelmarin, pasukan bomba berjaya mengawal 10 kebakaran utama di barat Turkiye, namun seorang pekerja perhutanan yang cedera telah meninggal dunia, menjadikannya mangsa ketiga yang maut di daerah Odemis dalam wilayah Izmir.
Pihak berkuasa menyatakan kebanyakan kebakaran di Izmir berpunca daripada kerosakan talian elektrik.
Sementara itu, di wilayah Hatay yang bersempadan dengan Syria, pasukan kecemasan meneruskan usaha memadamkan kebakaran yang tercetus pada petang Jumaat di daerah Dortyol berhampiran kawasan perumahan.
Kebakaran itu cepat merebak akibat tiupan angin kencang, menurut laporan agensi berita Anadolu.
Gabenor Mustafa Musatli berkata, sebanyak 920 buah rumah telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap api yang semakin menghampiri kawasan kediaman pada malam Jumaat.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, memaklumkan bahawa 44 suspek telah ditahan berkaitan 65 kejadian kebakaran yang berlaku di seluruh negara.
Kebakaran yang melanda Turkiye, Greece dan Syria sejak minggu lalu dipacu oleh suhu yang melonjak tinggi, angin kencang dan kelembapan udara yang rendah.
Di Turkiye, puluhan ribu penduduk telah dipindahkan dan sekitar 200 buah rumah dilaporkan rosak. – AP


