Sunday, April 13, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turkiye, Indonesia terus kerjasama bantu Gaza, perjuangan Palestin

    ISTANBUL, 11 APRIL – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata kelmarin bahawa Ankara akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam usaha membangunkan semula Gaza serta memperjuangkan isu Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    “Dalam tempoh akan datang, kami akan meneruskan kerjasama dengan Indonesia untuk membina semula Gaza dan memperjuangkan isu Palestin,” kata Erdogan dalam sidang media bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang sedang melakukan lawatan rasmi ke ibu negara Turkiye, Ankara.

    Israel menentang penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel dan membunuh lebih 50,000 orang di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

    Terdahulu, Prabowo diberi sambutan di Istana Presiden dan turut berucap di Parlimen Turkiye.

    Erdogan berkata, Turkiye terus menjalin kerjasama dengan Indonesia di pelbagai platform antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan G20, D-8 dan MIKTA.

    Erdogan menyifatkan ucapan Prabowo di Parlimen Turkiye merupakan, “manifestasi terindah persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.”

    Selain itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang seperti industri pertahanan, pembinaan, kesihatan, tenaga dan makanan.

    Mengulas mengenai Forum Diplomasi Antalya yang bermula Jumaat dan turut dihadiri oleh Prabowo, Erdogan menyatakan, “Minat mendalam ini sekali lagi menunjukkan pengaruh Turkiye yang semakin berkembang dalam arena diplomasi global.”

    “Saya benar-benar percaya bahawa lawatan Presiden Subianto akan memperkukuh kerjasama kita, baik dari segi dua hala mahupun pelbagai hala,” katanya. – Bernama/Anadolu 

    Warga Palestin di perkarangan Universiti Islam Gaza di tengah-tengah perang yang berterusan di Gaza pada 6 April.  Turkiye, Indonesia terus kerjasama bantu Gaza. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda